Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my


PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengumumkan perkhidmatan DuitNow kini dilancarkan melalui saluran perbankan Internet dan/atau mudah alih bagi 14 institusi bank di negara ini.

Bank-bank yang terbabit adalah Ambank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank of China (Malaysia) Berhad, BNP Paribas Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Citibank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad, Malayan Banking Berhad, OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad.

Susulan pelancaran itu, rangkaian institusi-institusi yang menawarkan perkhidmatan DuitNow akan diperluaskan dengan penambahan 17 bank dan syarikat e-dompet tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, pelanggan kini boleh melihat, mengubah suai atau memindahkan pendaftaran DuitNow melalui saluran perbankan internet dan mudah alih di bank-bank terbabit.

Menurutnya, bank-bank di Malaysia bekerjasama bagi memberi kemudahan kepada pelanggan supaya mereka dapat melihat pendaftaran masing-masing di semua bank apabila mengunjungi perbankan internet atau mudah alih bagi mana-mana daripada bank terbabit.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan daripada jutaan rakyat Malaysia yang mendaftar untuk DuitNow yang membolehkan mereka menerima dana dengan menggunakan nombor telefon bimbit dan nombor MyKad mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Pemindahan dana sehingga RM5,000 adalah percuma bagi semua pengguna dan perusahaan kecil sederhana (PKS) di mana pelanggan boleh melakukan pemindahan dengan mengakses tab DuitNow di bawah menu ‘Pemindahan Dana’ di saluran perbankan internet atau mudah alih bank masing-masing.

Sesetengah bank juga akan mengetepikan caj transaksi DuitNow bagi pemindahan dana melebihi RM5,000.

Beliau berkata, DuitNow adalah fasa pertama dalam langkah beberapa tahun oleh industri perbankan untuk memodenkan infrastruktur pembayaran runcit di Malaysia.

“Usaha ini bertujuan memperkenalkan satu platform yang kos efektif, tangkas dan fleksibel bagi menyokong produk e-pembayaran yang inovatif dan baru,” katanya.

DuitNow adalah perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.

Pelanggan yang ingin menerima pemindahan dana melalui DuitNow dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka perlu melakukan pendaftaran satu kali saja untuk memautkan nombor telefon bimbit ke nombor akaun bank mereka.

Mereka juga boleh memautkan nombor MyKad atau MyPR, nombor tentera atau polis, nombor pasport atau nombor pendaftaran perniagaan ke akaun bank mereka untuk menerima wang.

Bersempena pelancaran DuitNow, satu peraduan akan dijalankan di seluruh negara bermula 8 Januari 2019 nanti di mana pelanggan yang mendaftar untuk menerima dana melalui DuitNow berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik bernilai jutaan ringgit.

Peraduan ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup tanpa transaksi tunai dengan memberi ganjaran kepada mereka yang menggunakan transaksi DuitNow.

Untuk maklumat lanjut, layari www.duitnow.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 5:21 PM