GAMBAR hiasan. FOTO Azhar Ramli
Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memindahkan aset tidak menguntungkan berjumlah RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki kerajaan akan membersihkan lembaran imbangan pengurus dana haji itu, sekali gus akan memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Langkah menstruktur semula lembaran imbangan itu membolehkan TH menjana keuntungan dan mengagihkan hibah kepada pendepositnya sejajar dengan Akta Tabung Haji 1995.

Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan itu adalah langkah pintar dalam menangani aset tidak menguntungkan membabitkan ekuiti dan hartanah.

Beliau berkata, ia membolehkan TH diuruskan dengan lebih cekap bagi memulihkan semula prestasi kewangannya tanpa dibebani oleh aset tidak menguntungkan.

Katanya, dengan ekonomi global yang mencabar, sudah pasti saham dan hartanah yang mencatatkan prestasi kurang baik terjejas dan memerlukan masa untuk pulih.

Jelasnya, sekiranya aset tidak berjaya dipulihkan, maka SPV yang memegang aset itu boleh mengambil pelbagai langkah seperti menjualnya.

“Sukuk RM10 bilion dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (RCPS-i) RM9.9 bilion juga dibentuk secara fleksibel yang memudahkan pengurusan aset berkenaan pada masa depan.

“Malah, ia tidak ada urusan seperti pengaliran wang tunai mahupun pengeluaran jaminan bank oleh kerajaan atau TH. Oleh itu, penstrukturan semula TH ini sangat bijak dan cekap. Ia juga tidak mengeluarkan pelaburan yang banyak oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah memindahkan aset tidak menguntungkan berjumlah RM19.9 bilion oleh TH kepada SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 1:00 PM