MADANI
HM Digital

Cyberjaya: Dasar Automotif Nasional (NAP) 2019 akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama sebagai usaha untuk mempertingkat dan memajukan kemampuan sektor automotif negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, dasar automotif yang baru itu juga djangka turut menyentuh pembangunan projek kereta nasional ketiga.

Beliau berkata, teras utama dalam NAP 2019 itu adalah kenderaan generasi baru, perkhidmatan aset mobiliti dan Revolusi Perindustri 4.0 (Industri 4.0) yang mana ia akan merangkumkan seluruh ekosistem automotif.

“Bagi kenderaan generasi baru, ia kenderaan pintar dengan ketersambungan dan pada masa sama berciri hijau seperti cekap tenaga, hibdrid dan mengeluarkan karbon yang rendah.

“Dari segi perkhidmatan mobiliti, ia menjadi aspek penting dalam industri servis apabila kenderaan yang dihasilkan lebih pintar.

“Akhir sekali Industri 4.0 yang akan menjadi pemangkin bersepadu dalam menjadikan NAP ini lebih menyeluruh dan seterusnya memajukan sektor automotif di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat ‘Pengenalan MARii’ bersama peserta industri automotif, ahli akademik dan agensi kerajaan serta peluang dalam segmen robotik di ibu pejabat MARii, semalam.

MARii sebelum ini dikenali sebagai Institut Automotif Malaysia (MAI) dan pengumuman penjenamaan semula itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking pada acara Kereta Tahunan (COTY) 2018 baru-baru ini.

Sebagai agensi di bawah MITI, ia akan terus menjadikan pembangunan automotif sebagai agenda utama dan diperluaskan peranannya menerusi segmen robotik dan Internet Kebendaan (IoT) supaya kekal berdaya saing di peringkat global.

Mengulas kemampuan negara mengeluarkan kereta nasional ketiga, Madani berkata, Malaysia satu-satunya negara sedang membangun mempunyai keupayaan mengeluarkannya.

“Apa yang dimaksudkan kemampuan dari segi pengeluaran, reka bentuk, kejuruteraan, prototaip dan pengeluaran secara besar.

“Ini apa yang Malaysia bangunkan sejak 40 tahun lalu namun apa yang perlu ditumpukan adalah bagaimana mengembangkan eksport kereta dengan lebih meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:00 PM