HIROYUKI bersama Seelan melihat skrin rakaman litar tertutup keluaran Panasonic yang terbaharu.
Sofyan Rizal Ishak
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Panasonic Malaysia memperkenalkan penyelesaian pintar terbaharu yang akan memberi fokus kepada tiga cabang utama iaitu sektor pendidikan, korporat dan perniagaan serta hiburan bagi memenuhi keperluan pengguna di era transformasi digital ini.

Pengurus Besar dan Ketua Negara Penyelesaian Sistemnya, Seelan Kandasamy berkata, fokus terbabit dipilih berdasarkan kepakaran, kecekapan dan pengalaman syarikat sekali gus dijangka mampu menyediakan perkhidmatan penyelesaian penuh yang dapat membantu sektor korporat dan awam negara berkembang serta kekal kompetitif.

“Sebelum ini, kami memberi fokus kepada pasaran di sektor pembinaan namun, kami melihat ia terlalu padat lantas membuatkan kami menerokai cabang lain yang dilihat memiliki potensi cerah kepada syarikat,” katanya pada pelancaran Panasonic FutureTech 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Hiroyuki Muto.

Panasonic FutureTech 2018 adalah pameran yang menampilkan rangkaian pelbagai penyelesaian canggih merangkumi beberapa cabang utama.

Ia menawarkan teknologi rintis bagi menghasilkan penyelesaian pintar dan lengkap untuk mempertingkatkan lagi pengalaman pelanggan, kecekapan dan produktiviti industri.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan rangkaian penyelesaian terbaru itu mampu mencapai pertumbuhan 135 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Secara lazimnya, penyelesaian seperti ini mengambil tempoh masa yang lama bagi melihat sambutannya dan kami menjangkakan ia mampu memenuhi pasaran di sektor awam dan korporat berdasarkan kedudukan kukuh jenama Panasonic di pasaran penyelesaian di negara ini,” katanya.

Panasonic Malaysia memperkenalkan penyelesaian di bawah Penyelesaian Pendidikan seperti Sistem Bilik Darjah Pintar, Sistem Rakaman Kuliah Pintar, Bilik Darjah Imersif, Penyelesaian Tayangan dan Paparan Besar Panel Sentuhan Interaktif serta Sistem Pengawasan Dalam Kelas dan Kampus bersama Aplikasi Pengecaman Wajah.

Penyelesaian Korporat menyaksikan syarikat itu memperkenalkan Penyelesaian Pejabat Pintar dengan Sistem Kawalan Berpusat, Pusat Kawalan Pengawasan Pintar Berpusat, Penyelesaian Sistem Komunikasi Bersepadu IP dan Persidangan Video, Sistem Kawalan Pejabat Perkongsian Ruang serta Penyelesaian Tayangan dan Paparan Interaktif.

Penyelesaian Runcit Masa Depan pula memperkenalkan Penyelesaian Unjuran Pemetaan, Ruang Pameran Produk Intuitif dan Pengalaman Jamu Selera Interaktif yang fokus kepada konsep pameran dimensi baharu di ruang niaga melalui pendekatan pemasaran baharu menggunakan hubungan Internet Kebendaan (IoT).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:05 AM