KAMARUL Ariffin.
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd merancang untuk melancarkan lebih banyak produk digital baharu pada tahun depan termasuk pengenalan perkhidmatan e-dompet sebagai sebahagian usaha meningkatkan pendapatan kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, pengenalan produk digital baharu itu adalah hasil daripada pelaksanaan program transformasi kumpulan itu iaitu Affinity.

Katanya, program Affinity yang mula diperkenalkan sejak 2016 berjaya membantu meningkatkan pendapatan syarikat dengan pihaknya menjangkakan pada tahun ini pertumbuhan pinjaman meningkat sebanyak tujuh peratus, manakala deposit 13 peratus.

“Peningkatan pinjaman ini adalah khususnya daripada sektor pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala peningkatan deposit daripada ketiga-tiga sektor iaitu pengguna, PKS dan perbankan korporat.

“Ini menunjukkan program Affinity yang kami mulakan sejak tahun 2016 kini berjalan dengan lancar dan akan menghasilkan lebih banyak produk pada tahun depan yang mana banyak projek yang kami jalankan terutama berlandaskan digital dan teknologi akan disiapkan pada 2019,” katanya kepada pemberita kumpulan media di bawah Media Prima Bhd, di sini.

Mengulas lanjut mengenai program Affinity, Kamarul berkata kumpulan memperuntukkan tempoh lima tahun terhadap program itu untuk ia mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, untuk dua tahun pertama pelaksanaannya, ia banyak membabitkan peringkat dasar dan asas projek yang dilaksanakan seperti dari segi penukaran teknologi dan IT termasuk perubahan tenaga kerja, proses, sistem dan pelbagai lagi.

“(Namun) pada 2019, banyak projek berlandaskan IT yang akan siap untuk dilancarkan ke pasaran dan kami jangka akan dapat melihat keputusan yang lebih memberangsangkan terhadap prestasi syarikat.

“Kami memperuntukkan pelaburan sebanyak RM300 juta untuk program Affinity ini dan setakat ini sebanyak 50 peratus sudah dibelanjakan. Pada tahun ini, kami kami sudah melancarkan pusat perhubungan baharu, laman sesawang korporat baharu,

“Pada tahun depan kumpulan akan melancarkan e-dompet, sistem transaksi perbankan dan banyak projek bersifatkan IT yang akan memberi tawaran berbeza kepada pelanggan dan dari proses di dalamnya akan menjadikan perkhidmatan kami lebih cekap.

“Setakat ini melalui perencanaan semula proses dalaman, kami sudah dapat melihat penambahbaikan dari segi tempoh yang diambil untuk menyelesaikan sesebuah urusan hampir 50 peratus berbanding sebelum ini

“Contohnya dari segi tempoh untuk memproses permohonan pinjaman perumahan atau gadai janji, berjaya kami kurangkan dari lima ke tujuh hari sebelum ini kepada dua ke tiga hari kini,” katanya.

Jelasnya, program Affinity bukan hanya merangkumi sektor runcit dan perbankan Internet, tetapi meliputi setiap aspek perbankan di dalam Affin yang mana bersifat agak menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:00 AM