PENGAMBILAN tenaga kerja dalam kalangan pemain e-dagang catat peningkatan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: iPrice Group, laman pencarian meta mengumumkan kadar pengambilan tenaga kerja dalam kalangan pemain e-dagang terkemuka di Asia Tenggara didapati meningkat kepada purata 808 pekerja bagi setiap suku tahun bermula suku keempat 2016 hingga suku ketiga 2018.

Kajian terkini syarikat itu mendapati Shopee mencatatkan peningkatan pertumbuhan tenaga kerjanya kepada 176 peratus dalam tempoh dua tahun daripada 1,384 kepada 3,831 pekerja pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Kandungan Pemasaran iPrice Group Malaysia, Jeremy Chew berkata, pemain e-dagang lain seperti Lazada, Tokopedia, Bukalapak juga mengalami pertumbuhan dalam tenaga kerja masing-masing kecuali Zalora iaitu satu-satunya pemain utama industri yang mengalami penurunan daripada 1,859 kepada 1,715 pekerja.

“Untuk Shopee, mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam kadar pengambilan tenaga kerja dengan mereka menawarkan 62 peratus peluang pekerjaan dalam kalangan pemain e-dagang serantau diikuti

Lazada (19 peratus) dan Bukalapak (empat peratus).

“Bagaimanapun, Lazada masih memiliki bilangan kakitangan tertinggi iaitu seramai 6,659 pekerja aktif di Asia Tenggara. Sebagai pemain terkemuka, Lazada masih mengambil pekerja baru di mana 19 peratus kekosongan jawatan daripada pemain e-dagang utama adalah dari mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:00 AM