LIM (kiri) dan Graham memperkenalkan Milk Stix dan Squeeze Tub di Fiesta Ulang Tahun F&N Ke-135, semalam.
Hamizah Badiran
hamizah@nstp.com.my

Putrajaya: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) memperkenalkan produk krimer tenusu manis Milk Stix dan susu pekat manis Squeeze Tube dalam bentuk pembungkusan inovatif baru sempena ulang tahun ke-135 syarikat itu.

Produk itu juga muncul sebagai susu pekat manis penuh krim pertama di Malaysia yang dikeluarkan dalam bentuk pembungkusan sedemikian, sesuai dengan gaya hidup dan cita rasa pengguna masa kini yang serba pantas.

Milk Stix dan Squeeze Tube hadir dalam tiga perisa iaitu susu penuh krim lambang keunggulan F&N, coklat dan strawberi yang semudah buka, picit dan hidang untuk menikmatinya.

Squeeze Tube pula boleh didapati dalam pek 180 gram tiga perisa pada harga RM6.80 setiap tiub manakala Milk Stix dalam format uncang pula berharga RM7.80 di saluran runcit utama termasuk pasar mini, pasar raya dan hypermarket.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, F&N bukan saja jenama yang sentiasa menjadi sebutan dan dipercayai sejak zaman- berzaman tetapi juga mengekalkan warisannya dengan menawarkan produk yang sesuai untuk setiap acara serta keperluan pengguna.

“Pelancaran produk ini tepat pada masanya untuk memenuhi tuntutan gaya hidup pengguna yang sibuk. Inovasi ini menandakan satu kemajuan bagi F&N yang mahu memberikan cara terbaik, serba baru dan kreatif untuk memudahkan kehidupan pengguna tanpa mengira masa serta di mana saja termasuk ketika bercuti di luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Fiesta Ulang Tahun F&N Ke-135 dan Pelancaran Milk Stix serta Squeeze Tube di Pusat Beli-Belah IOI City Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Bahagian Pemasaran F&NHB, Graham Lim dan Pengurus Pemasaran Kanan F&N Beverages Marketing, Eileen Chan.

Mengulas mengenai Fiesta Ulang Tahun F&N Ke-135, Lim berkata, acara itu diadakan istimewa sebagai tanda terima kasih kepada pengguna yang tidak pernah jemu mahupun berhenti menyokong jenama berkenaan sejak 1883.

“Fiesta Ulang Tahun F&N Ke-135 berlangsung selama lima hari bermula Rabu sehingga Ahad ini di Aras G, Centre Court IOI City Mall dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Sepanjang berlangsungnya acara ini, pengunjung berpeluang menyaksikan dan menyertai pelbagai aktiviti interaktif serta menyeronokkan termasuk pertunjukan memasak menggunakan produk F&N, persembahan teh tarik, permainan, pemberian sampel produk terbaru, bertemu duta variasi produk F&N seperti Datuk Lee Chong Wei, Goh Jin Wei, Hairul Azren dan persembahan finalis Anugerah Juara Lagu ke-33.

Orang ramai juga boleh membeli produk F&N kegemaran mereka pada harga istimewa dan memenangi hadiah menarik dengan pelbagai pertandingan serta permainan di fiesta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:23 PM