Mohd Redzuan (tiga dari kanan) bersama Ahmad (dua dari kiri) dan Low (dua dari kanan) selepas taklimat pembangunan BBCC, semalam.
Nurhayati Abllah
nurhayatiabllah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan berminat untuk berniaga di Malaysia Grand Bazaar (MGB) iaitu sebahagian daripada komponen runcit di Bukit Bintang City Centre (BBCC), kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

“Kemudahan pinjaman boleh didapati menerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan seperti SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Bank Rakyat. Ia termasuk tawaran bagi jaminan kredit atau geran.

“Dalam hal ini, masalah kewangan tidak sepatutnya menjadi isu kerana kerajaan sentiasa menyediakan platform dalam membantu usahawan untuk sentiasa ke hadapan,” katanya berucap pada taklimat pembangunan BBCC di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Bhd (UDA Holdings), Datuk Ahmad Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development Sdn Bhd (BBCC Development), Low Thian Chin.

Mohd Redzuan berkata, BBCC antara platform terbaik dalam kalangan usahawan tempatan terutama generasi muda untuk membina pertumbuhan baik dalam perniagaan.

“Selain faktor lokasinya yang strategik, BBCC juga mempunyai jaringan perhubungan baik serta mampu menjadi hab kepada pengusaha tempatan, terutama Bumiputera untuk memperkembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, UDA Holdings kini meninjau lebih banyak penyewa berpotensi untuk menyertai MGB.

“MGB menawarkan 100,000 kaki persegi ruang niaga yang senang diubah suai. Setakat ini, komponen berkenaan menarik 40 penyewa dan dijangka dibuka sepenuhnya pada 2021. Setakat ini ada 300 penyewa berminat dan kami mengenal pasti mereka yang berpotensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:48 AM