KAMARUL Ariffin (tiga dari kanan) pada pelancaran kad kredit Affin Islamic Bank di Starhill Gallery.
Nabil Basaruddin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) melancarkan Kad Kredit AFFIN Visa Business Platinum yang dapat memenuhi keperluan komuniti perniagaan dan kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, kad itu dilengkapi pelbagai manfaat yang sesuai untuk kumpulan perniagaan dan PKS seperti pulangan tunai tanpa had sebanyak 1.5 peratus apabila berurus niaga di luar negara.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 10,000 langganan kad kredit berkenaan pada 2019 yang disokong permintaan dan kehadiran PKS dalam pasaran semasa di negara ini.

“Kad ini mempunyai ciri yang pelbagai seperti pengurusan gaji untuk pekerja PKS, pengurusan kekayaan dengan pulangan tinggi dan penyelesaian perolehan rakan niaga yang kompetitif.

“Penting bagi kami untuk menembusi pasaran PKS ini kerana ia adalah segmen yang kukuh serta unik untuk pertumbuhan kumpulan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kad kredit itu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi AFFIN ISLAMIC, Mohd Sufian Haron, Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC, Nazlee Khalifah dan Pengurus Negara Malaysia, Visa International, Ng Kong Boon.

AFFINBANK mengunjurkan segmen PKS dapat menyumbang kepada Kumpulan antara 15 hingga 20 peratus atau RM700 juta pada penghujung tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai kad itu, Kamarul Ariffin berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai pelanggan dari sektor PKS dan perniagaan komersial untuk menggunakan produk ini memandangkan Malaysia mempunyai 920,000 PKS.

“Negara ini mempunyai PKS dalam pelbagai sektor yang kami lihat ia adalah potensi yang besar untuk diteroka melalui pengenalan produk ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:04 AM