BANGUNAN Balai Berita Bangsar. FOTO Arkib NSTP
HM Digital
cnews@nstp.com.my


MEDIA Prima Bhd (Media Prima) menerima sokongan daripada pemegang saham bagi urus niaga jualan dan pajak semula untuk aset yang dimiliki The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), sekali gus dijangka mampu mencatatkan keuntungan sebanyak RM127.7 juta.

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu menerima undian sebanyak 99.8 peratus menerusi keputusan yang diperoleh daripada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan, hari ini.

Perjanjian urus niaga jualan dan pajak semula dengan PNB Development Sdn Bhd itu membabitkan aset milik NSTP, termasuk Balai Berita Shah Alam dan Balai Berita Bangsar.

Media Prima berkata, selepas selesai urus niaga jualan berkenaan, kumpulan dijangka mencatat keuntungan sebanyak RM127.7 juta dan operasinya akan berjalan seperti biasa dari kedua-dua lokasi berkenaan seperti ditetapkan di bawah perjanjian.

“Penggunaan hasil penjimatan perolehan daripada pembayaran pinjaman berjangka akan membolehkan kumpulan menggunakan simpanan tunai sedia ada bagi pelan transformasi perniagaannya.

“Dengan pembayaran penuh pinjaman berjangka itu, kumpulan berupaya menjimatkan RM22 juta ke atas pembayaran faedah dan seterusnya menurunkan tahap penggearannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 30 Ogos lalu, Media Prima mengumumkan ia memasuki cadangan urus niaga jualan dan pajak semula untuk asetnya bagi pertimbangan tunai berjumlah RM280 juta.

Langkah itu antara usaha menjadikan Media Prima sebagai syarikat beraset ringan, berada di dalam kedudukan lebih baik bagi menceburi peluang pendapatan baharu dan peluasan dalam segmen digital serta perdagangan.

Melangkah ke hadapan, Media Prima berkata, kumpulan berkenaan yang berhasrat untuk menjadi syarikat kandungan digital dan perdagangan utama Malaysia akan memfokuskan usahanya untuk menjana lebih banyak hasil melalui peluasan digital, perdagangan dan luar negara.

Media Prima turut mengumumkan ia menjana peningkatan pendapatan digital dan perdagangan sebanyak 79 peratus bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perolehan digital dan perdagangan meningkat kepada RM216.2 juta bagi tempoh sembilan bulan pada tahun ini daripada RM121 juta pada sembilan bulan tahun lalu, mencerminkan perkembangan positif pelan transformasi perniagaan Media Prima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 9:22 PM