Nabil Basaruddin dan Ayisy Yusof
bisnes@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Rasionalisasi dan penyusunan semula fungsi agensi berkaitan keusahawanan (EDO) di bawah Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) adalah langkah tepat dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi di Malaysia menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ketika ini terdapat lebih 60 agensi pembangunan keusahawanan merentasi pelbagai kementerian yang mengeluarkan dasar dan menjalankan program seperti pembiayaan, latihan dan pembangunan keusahawanan.

Katanya, pada 2018, sejumlah 151 program pembangunan usahawan dirancang dengan komitmen kewangan RM12.89 bilion.

“Wujud keperluan untuk merasionalisasi dan menyusun semula fungsi semua agensi supaya tidak berlaku sebarang pertindihan fungsi.

“Agensi utama berkaitan pembangunan usahawan yang diletak di bawah MED juga membolehkan kementerian dapat mereka bentuk, menyelaras dan melaksanakan dasar, peraturan dan undang-undang berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keusahawanan.

“Kita sebenarnya bertindak sebagai agensi koordinasi dan pemantau serta mengalakkan penyertaan awam untuk kukuhkan rangka kerja ini,” katanya pada majlis pelancaran NEF di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menterinya Dr Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha MED Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Rangka kerja itu juga adalah sebagai pemangkin kepada MED dalam merealisasikan sasarannya untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada ekonomi negara dan meningkatkan pulangan sebanyak RM50 bilion sektor koperasi pada 2020.

Selain itu, ia juga dapat mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, program pembangunan vendor (VDP) akan dirombak bagi memastikan syarikat utama tidak hanya menganggap VDP sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, penyelesaian ‘menang-menang’ dengan semua pihak terbabit perlu dilaksanakan untuk menarik syarikat multinasional dan senaraian awam untuk turut serta ke dalam program ini.

“Penyertaan mereka sebagai syarikat utama adalah diperlukan untuk membantu memperluas sektor keusahawanan dan mengembangkan lagi segmen program vendor ini.

“MED juga mengenal pasti beberapa sektor strategik dengan potensi pendapatan tinggi untuk pembangunan vendor seperti automotif, rel, aeroangkasa, peralatan perubatan, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk melahirkan lebih banyak PKS termasuk daripada golongan B40 untuk menjadi pembekal komponen, pengilang atau penyedia perkhidmatan dengan kerjasama syarikat peneraju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 4:30 AM