FOTO arkib NSTP
Bisnes NSTP
bisnes@nstp.com.my


PEROLEHAN digital dan dagangan Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, mencatatkan peningkatan 79 peratus kepada RM216.2 juta bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2018, berbanding RM121 juta tempoh sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan kemajuan positif pelan transformasi perniagaan Media Prima untuk menjadi syarikat kandungan digital dan perdagangan utama di Malaysia.

“Perolehan digital kumpulan meningkat kepada RM64.3 juta dalam tempoh dikaji daripada RM28 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu oleh strategi dalam perolehan pengiklanan digital dan peluang untuk pengewangan.

“Ia termasuk kerjasama kandungan dengan rakan global seperti YouTube, Dailymotion dan Mashable Southeast Asia milik Ziff Davis dan menfokuskan sumber terhadap persekitaran pengiklanan programatik yang dilihat oleh penganalisis industri sebagai satu segmen pertumbuhan perolehan digital terpantas,” kata kumpulan itu dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam penerbitan digital pula, Media Prima berkata, perkongsian perlesenan REV Asia untuk menjalankan operasi Mashable Southeast Asia iaitu cabang serantau dalam portal teknologi terkemuka antarabangsa yang mensasarkan golongan milenial, berjaya melebarkan kehadiran digital kumpulan di peringkat serantau termasuk Indonesia, Filipina dan Singapura.

“Melangkah ke hadapan, REV Asia yang memiliki gabungan audiens digital 14.8 juta pelawat unik bulanan purata akan terus meneroka dan mengambil alih portal baru dalam talian bagi tujuan mempelbagaikan tawaran kepada pengiklan dan melebarkan profil audiens mengikut segmen,” katanya.

Bagi dagangan pula, Rangkaian Televisyen Media Prima menerusi segmen beli-belah di rumah, CJ WOW SHOP, menjana jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM152 juta bagi tempoh sembilan bulan, meningkat 63 peratus daripada RM93 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai prestasi itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, keputusan yang dicapai melalui inisiatif perniagaan mencerminkan usaha transformasi yang sedang dilaksanakan adalah berkesan meskipun berhadapan persekitaran industri media global yang mencabar.

“Kumpulan terus mencatatkan perkembangan di dalam segmen media digital sejak menjadi syarikat media digital ketiga terbesar di Malaysia. Manakala bagi segmen dagangan, perniagaan beli-belah di rumah dijangka melangkaui sasaran perolehan sebelum akhir tahun ini.

“Walaupun masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan cabaran yang mendatang, kami akan terus fokus dalam memacu pelan transformasi dan memberi pulangan kepada pemegang saham kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:04 PM