PROJEK Kita @ LBS Cybersouth dilengkapi persekitaran kejiranan yang baik.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Projek hartanah LBS Bina Group Bhd (LBS), Kita @ LBS Cybersouth adalah pembangunan dalam lingkungan lokasi strategik yang meraih perhatianramai pembeli rumah.

Pembangunan itu membabitkan dua fasa pertama perbandaran dengan potensi baru dibangunkan di Tanah Rizab Melayu di koridor selatan Lembah Klang antara Putrajaya dan Cyberjaya.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, dalam tempoh beberapa jam pendaftaran bagi Kita @ LBS Cybersouth dibuka, pihaknya mendapat sambutan dan kadar pengambilan menggalakkan.

“Projek ini pembangunan terbaru kami yang memenuhi keperluan pembeli daripada kalangan kaum Melayu yang mencari rumah dalam persekitaran dengan nilai kemasyarakatan dan kekeluargaan.

“Aksesibiliti, mampu milik dan perhubungan baik adalah komponen utama pembangunan ini kerana ia terletak secara strategik di Dengkil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Hock San berkata, ia direka agar mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui Lebuhraya Elite, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Jalan Putrajaya-Dengkil.

“Mereka yang mencari kejiranan yang baik untuk bersama keluarga dan perbandaran terancang bagi kemudahan serta keselesaan untuk berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.

Bagi fasa 1A, ia terdiri daripada rumah teres dua tingkat berharga dari RM530,000 berjaya mencapai jualan lebih 120 unit manakala fasa 2A terdiri daripada rumah bandar dua tingkat berharga RM399,900 mencapai jualan hampir 100 unit.

Kita @ LBS CyberSouth juga dikelilingi rangkaian sekolah dan institusi pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya, Universiti Heriot-Watt Malaysia dan Universiti Limkokwing.

Antara pusat komersial berhampiran termasuklah Alamanda, IOI City Mall dan Mitsui Outlet Park dalam radius 20 kilometer dari perbandaran itu serta berdekatan dengan Hospital Putrajaya dan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Tambah Hock San, bagi mereka yang mencari perubahan dalam pemandangan, ada pelbagai pilihan tempat rekreasi untuk diterokai seperti Putrajaya Challenge Park dan Taman Botani Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:01 PM