CHRIS (dua dari kanan) pada pelancaran produk baru, Cooltopia kesinambungan daripada air penyejuk badan Cap Kaki Tiga dengan dua perisa laici dan jambu batu, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Wen Ken Group yakin untuk mengekalkan sumbangan 60 peratus pendapatan daripada segmen produk penyejukan badannya disokong dengan pengenalan produk baru, Cooltopia.

Pengarah Perniagaannya, Chris Lim berkata, Cooltopia adalah kesinambungan daripada air penyejuk badan Cap Kaki Tiga dengan dua perisa laici dan jambu batu.

Katanya, Cooltopia juga dihasilkan dengan ciri moden dan menggabungkan fungsi utamanya menyejukkan badan dengan kelazatan minuman berperisa buah-buahan.

“Syarikat masih mengekalkan fungsi penyejukan sebagai fungsi utama, sama seperti produk klasik air penyejuk badan cap kaki tiga yang telah dipercayai lebih dari 80 tahun.

“Cooltopia adalah produk baru kami yang menampilkan ciri moden termasuk logo baru Cap Kaki Tiga yang disasarkan untuk mereka berumur 18 hingga 34 tahun.

“Selain Malaysia, kami juga memasarkan Cooltopia ke Indonesia serta Singapura dan menerima sambutan menggalakkan,” katanya di majlis pelancaran Cooltopia di sini, semalam.

Cooltopia boleh didapati di semua kedai serbaneka, farmasi dan pasar raya di seluruh negara pada harga runcit RM2.90 sebotol (320 ml).

Lim berkata, segmen produk penyejuk badan Cap Kaki Tiga sentiasa mendapat permintaan dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, tahun depan pihaknya akan memperkenalkan Cooltopia dengan beberapa perisa baru buah-buahan.

Menurutnya, Cooltopia mengandungi bahan aktif Gypsum Fibrosum dan Calcitum iaitu ubatan tradisional dan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan mempunyai sijil halal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:16 AM