LIM (kanan) dan Tan pada taklimat media prestasi kewangan F&NB, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin
zaky@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NB) masih menunggu butiran terperinci mengenai cukai soda yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2019 sebelum syarikat itu membuat penilaian mengenai impak kepada perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, F&NB menjangkakan sekitar 90 peratus daripada barisan produknya akan tertakluk kepada cukai baharu yang diperkenalkan kerajaan itu.

“Kita belum dapat pastikan kesan cukai soda kepada perniagaan F&NB buat masa ini kerana kami memerlukan lebih banyak butiran mengenai cukai ini,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan F&NB di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan F&NB, Tan Hock Beng.

Awal bulan ini, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 buat pertama kalinya mencadangkan pelaksanaan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100 ml mulai 1 April 2019.

Lim berkata, F&NB juga melaksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan kesihatan menerusi fomulasi semula rangkaian produknya dengan memperkenalkan pilihan produk yang lebih sihat.

“Kami menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat, namun lima bulan yang diberikan untuk pelaksanaan cukai soda sebenarnya tidak mencukupi.

Sementara itu, F&NB menyasarkan jualan eksport kumpulan mencecah RM800 juta menjelang 2020.

“Di sebalik keadaan pasaran yang mencabar, kami terus memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan keupayaan, mengoptimumkan kos dan menghasilkan sinergi dengan memanfaatkan inovasi berasaskan pengguna serta meluaskan capaian eksport,” katanya.

Bagi tempoh setahun penuh berakhir 30 September 2018, F&NB meraih pendapatan RM4.11 bilion, menokok 0.2 peratus berbanding RM4.1 bilion tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 9:40 AM