RAJA Kamarul Bahrin (tengah) mendengar penjelasan ketika melawat ruang pameran Persidangan LEAP anjuran TM One, semalam.
Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Garis panduan menyeluruh platform pendanaan awam (crowdfunding) hartanah dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata, pada masa ini mekanisme penuh mengenai pendekatan platform itu akan dilaksanakan masih belum disiapkan sepenuhnya.

Namun, katanya konsep pendanaan awam berkenaan adalah satu pendekatan inovatif yang boleh membantu pemilikan hartanah di negara ini.

“Berdasarkan kajian awal, pendekatan pendanaan awam hartanah ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.

“Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berpendapat ia perlu dicuba kerana ia boleh membuka peluang kepada mereka yang tidak layak mendapat pembiayaan dari institusi perbankan untuk memiliki rumah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan LEAP anjuran TM One di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Eksekutif TM ONE, Azizi A Hadi.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, kerajaan faham akan kebimbangan yang timbul mengenai pendekatan pendanaan awam hartanah itu kerana ia adalah sesuatu yang baru diperkenalkan.

“Setiap perkara baharu yang diperkenalkan sentiasa mendapat reaksi meluas. Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu skeptikal mengenainya kerana kerajaan komited dalam membantu memudahkan proses pemilikan rumah di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:37 AM