WINTER (kanan) bersama Lejeune pada pelancaran Volkswagen Polo Edisi Khas sempena Festival Beli-Belah Lazada 11.11 di Sri Hartamas.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan menawarkan 11 unit Volkswagen Polo Black & White edisi khas sempena sambutan Festival Beli-Belah Tahunan 11.11 Lazada.

Pelanggan hanya perlu membayar harga runcit sebanyak RM68,488 dan akan menerima aksesori tambahan bernilai RM7,500 bagi model itu yang hanya akan dijual secara eksklusif di Lazada pada 11 November 2018.

Sebagai sebahagian daripada tawaran, panel bank rasmi iaitu Hong Leong Bank juga akan menawarkan kadar faedah rendah istimewa sebanyak 1.11 peratus setahun bagi pinjaman lima tahun.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, trend pembelian pelanggan kini sudah banyak berubah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam mengubah persepsi pembelian kereta secara atas talian. Ia adalah satu perkara biasa di mana ia terbukti melalui kejayaan kolaborasi syarikat dengan Lazada untuk 12.12 Beetle dan rangkaian JOIN baru-baru ini,” katanya pada pelancaran Volkswagen Polo edisi khas sempena 11.11 Lazada di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia iaitu Christophe Lejuene.

Model Polo Black & White ini hanya didatangkan dalam warna putih (Candy White) dan dilengkapi dengan spoiler belakang, kemasan sisi berwarna hitam, tempat duduk kulit, rim aloi 15 inci, cermin sisi hitam dam filem VW Tint.

Sementara itu, Christophe berkata, kerjasama berterusan dengan jenama Volkswagen menjadi bukti kepada perubahan tingkah laku pengguna.

“Kami tidak sabar untuk menawarkan pengalaman beli-belah terbaik kepada pelanggan melalui kerjasama dengan Volkswagen pada kali ini,” katanya.

Untuk menempah, orang ramai perlu membayar yuran sebanyak RM799 yang boleh dibuat melalui Lazada Wallet, kad kredit atau perbankan secara atas talian.

Pelanggan akan menerima panggilan daripada wakil Volkswagen bagi tujuan memilih pengedar yang diingini dan melengkapkan pendaftaran serta penyerahan kereta.

Oang ramai boleh melayari Volkswagen Store di Lazada untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian model Polo Black & White edisi khas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 4:35 AM