LYE (kiri) pada pelancaran Fitbit Charge 3.
Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Fitbit, pengeluar peranti boleh pakai terkemuka dunia terus yakin dengan pasaran Malaysia apabila memilih negara ini sebagai yang pertama di Asia diperkenalkan dengan Fitbit Charge 3.

Pengurus Negara Fitbit Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Louis Lye berkata, walaupun Malaysia kini hanya menduduki tempat ke-38 daripada 86 negara dari segi pemilikan peranti Fitbit di seluruh dunia namun pertumbuhannya dilihat sangat signifikan.

“Kami melihat tahap kesedaran masyarakat ke atas gaya hidup sihat meningkat dengan ketara manakala pertumbuhan pasaran produk Fitbit amat memberangsangkan, di atas faktor sebegitulah Malaysia dipilih sebagai yang pertama diperkenalkan dengan Charge 3 bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna,” katanya.

“Fitbit Charge 3 adalah evolusi terkini dalam keluarga Charge yang sudah 35 juta unit dipasarkan di seluruh dunia. Charge 3 memiliki rekaan premium untuk pelbagai kegunaan gaya hidup sihat termasuk sukan air kerana ia mampu bertahan sehingga kedalaman 50 meter,” katanya.

Ia adalah peranti boleh pakai dalam kategori ‘tracker’ yang mampu mengesan aktiviti pengguna untuk dikaitkan dengan kesihatan merangkumi pengesan degupan jantung, jumlah langkah, jarak berjalan, tidur dan sebagainya.

Dilengkapi skrin peka sentuhan lebih besar, peranti pintar ini juga dilengkapi kuasa bateri baru yang mampu bertahan sehingga tujuh hari.

Ia juga memiliki ciri pintar termasuk notifikasi telefon pintar seperti menjawab dan menolak panggilan, perbualan media sosial Whatsapp atau Wechat, jawapan segera ke peranti Android dan sokongan ke palbagai aplikasi berkaitan.

Menurut Louis, Charge 3 sudah berada di pasaran tempatan dijual pada harga RM728 bagi pilihan warna hitam dengan kerangka aluminium grafit atau kelabu kebiruan dengan kerangka aluminium merah keemasan.

Terdapat jual Charge 3 Edisi Khas berharga RM838 yang memiliki ciri pembayaran elektronik. Kesemua peranti baru ini boleh diperoleh dari 192 pusat jualan Fitbit di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 4:31 AM