TONY (tiga dari kanan) bersama Shukrie (tiga dari kiri) merasmikan pelancaran Redbox.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@nstp.com.my


SEPANG: RedBox, cabang logistik di bawah Kumpulan AirAsia menjangkakan untuk mencapai pendapatan mencecah RM12 juta setahun melalui kerjasama yang dijalin dengan Shopee.

Ia membabitkan penghantaran logistik dari Shenzhen, China ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, melalui kerjasama berkenaan, penghantaran logistik dapat dikendalikan dalam tempoh lebih pendek pada kos lebih rendah.

“Dengan rangkaian laluan yang kami miliki melalui operasi AirAsia, penghantaran logistik dari China ke Sabah atau Sarawak dapat dikurangkan antara empat hingga lima hari berbanding sebelum ini yang mengambil masa sehingga dua minggu,” katanya.

Menurutnya, buat permulaan, kerjasama berkenaan membabitkan penghantaran ke lokasi di Sabah dan Sarawak dan ia akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.

“Dengan kerjasama lebih meluas bersama Shopee terutama di peringkat penghantaran akhir, kami menjangkakan pendapatan dapat mencecah antara RM40 juta ke RM50 juta setahun,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama strategik antara RedBox dan Shopee di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Mohd Shukrie berkata, perkhidmatan yang ditawarkan meliputi penggudangan, pelepasan kastam, pengangkutan dan penghantaran jarak jauh.

“Pelantikan kami sebagai rakan logistik Shopee untuk pasaran Sabah dan Sarawak secara tidak langsung membuktikan komitmen kami dalam menawarkan produk berkualiti tinggi melalui 5,000 penerbangan setiap minggu ke lebih 130 destinasi dalam rangkaian AirAsia,” katanya.

“Malah, kami juga akan meluaskan operasi bukan setakat di Malaysia tetapi turut meliputi pasaran ASEAN,” katanya.

Menurutnya, untuk tempoh jangka panjang RedBox turut akan menawarkan perkhidmatan logistik untuk perniagaan ke pengguna (B2C) dan seterusnya pengguna ke pengguna (C2C).

“Dengan infrastruktur yang dimiliki, kami yakin dapat menguasai sebahagian besar daripada pasaran logistik tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 4:00 AM