CHOI (kiri) bersama Ketua Pengarah Pemasaran Komunikasi Coway, Ryan Jung pada pelancaran Coway Ombak, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

PETALING JAYA: Coway (M) Sdn Bhd (Coway Malaysia), pakar penjagaan air dan udara menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 6,000 hingga 7,000 unit produk penapis air terbarunya iaitu Ombak pada setiap bulan.

Pengarah Urusannya, Kyle Choi Ki Ryong berkata syarikat yakin mampu mencapai angka jualan itu kerana produk Ombak dihasilkan khusus untuk memenuhi keperluan pengguna di negara ini.

“Untuk permulaan, kami bakal menyediakan 10, 000 unit produk Ombak yang dihasilkan di Korea Selatan ini untuk pasaran Malaysia berikutan jangkaan sambutan positif dari pasaran Malaysia kelak,” katanya pada pelancaran penapis air Coway Ombak di sini, semalam.

Produk Ombak dihasilkan secara khusus bagi memenuhi keperluan rakyat di negara ini di mana penapis air ini memiliki kapasiti tangki terbesar di pasaran dan dilengkapi dengan ciri 50 kombinasi tetapan bagi menentukan jumlah dan suhu air yang diperlukan pengguna.

Beliau berkata, penghasilan produk itu tercetus melalui kajian, pemerhatian dan analisis syarikat terhadap tingkah laku dan trend penggunaan air oleh masyarakat tempatan.

“Produk ini akan menjadi penyelesaian terbaik dalam mendapatkan suhu air sempurna bagi pelbagai tujuan seperti memasak, merebus dan menghasilkan minuman,” katanya.

Produk Ombak kini boleh mula didapati di pasaran pada harga RM4,300 untuk pembelian terus atau RM140 setiap bulan bagi pembelian secara sewaan.

Sementara itu, Kyle berkata pelancaran produk Ombak dijangka membantu Coway Malaysia untuk mencapai sasaran korporatnya bagi menarik satu juta pelanggan menjelang hujung tahun ini.

“Kami kini berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran terbabit di mana kami berjaya mencatatkan perkembangan baik iaitu pada tahap 96 peratus daripada sasaran atau angka terbabit,” katanya.

Coway Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai seramai satu juta pelanggan menjelang hujung tahun ini, 1.4 juta pelanggan bagi tahun depan dan dua juta pelanggan pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:31 AM