HO (kanan) bersama pelanggan memilih ikan segar yang dijual di Pasaraya TF Value-Mart di Segamat.
Ahmad Ismail
cnews@nstp.com.my

SEGAMAT: Pasaraya TF Value-Mart Sdn Bhd (TF Value-Mart) menyasarkan membuka cawangan ke-30 sebelum hujung tahun ini di bandar kecil sebagai tumpuan utama.

TF Value-Mart yang beroperasi sejak 61 tahun lalu kini mempunyai 27 cawangan di seluruh negara termasuk di daerah ini yang dibuka 1 November lalu, manakala baki tiga cawangan lagi akan dibuka di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart, Ho Mun Hao berkata, pengurusan mengekalkan konsep utama iaitu memilih daerah atau pinggir bandar besar untuk membuka cawangan.

Katanya, ia berdasarkan pengalaman pihaknya menyasarkan pelanggan berpendapatan sederhana dan rendah namun menawarkan pelbagai barangan berkualiti dengan harga mampu milik.

“Di sini (Segamat) adalah pembukaan cawangan ke-27 dan kami merancang membuka tiga lagi cawangan baru di Kulim, Alor Star dan Kuala Kedah, Kedah sebelum hujung tahun ini untuk menjadikan jumlah keseluruhan cawangan kepada 30 di seluruh negara sejak outlet pertama dibuka di Bentong, Pahang, 61 tahun lalu,” katanya pada majlis pembukaan TF Value-Mart di Segamat Sentral di sini, Khamis lalu.

Hadir sama, Pengurus Kawasan Selatan dan Tengah TF Value-Mart Alex Chon Kah dan Pengurus Pemasaran TF Value-Mart Segamat, Alex Bar.

Ho berkata, buat masa ini hanya Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang belum mempunyai cawangan TF Value-Mart.

Menurutnya, pengurusan memilih lokasi bersebelahan Segamat Central dan beroperasi seawal jam 9 pagi bagi memudahkan pelanggan terutama peniaga warung dan kedai makanan mendapatkan bekalan tanpa perlu bersaing dengan mereka yang bekerja.

“Kami menawarkan 30,000 barangan basah, kering, tin dan pakaian dengan harga rendah namun menjaga kualiti barangan yang dijual kepada pelanggan.

“Kami hanya memilih sayur, buah dan ikan segar untuk dijual di pasar raya ini dan pada masa sama, menjaga harga jualan supaya ia yang terendah di pasaran.

“Pada masa sama, kami memberikan kad keahlian TF Value-Mart supaya pelanggan boleh menikmati pelbagai hadiah atau potongan harga,” katanya.

Menurutnya, antara sebab utama tidak memilih bandar besar adalah kos sewa bangunan terlalu tinggi yang boleh menyebabkan harga jualan jadi mahal berbanding sebelum ini, selain saingan pasar raya sedia ada. termasuk syarikat antarabangsa.

Selain itu, katanya, dengan membuka cawangan di daerah atau bandar kecil, merekadapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Di Segamat, katanya, TF Value-Mart menawarkan peluang pekerjaan kepada 140 penduduk tempatan dan pasar raya dibuka bermula 9 pagi hingga 10 malam dengan parkir dilengkapi Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta rondaan pengawal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:00 AM