AZMAN
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyaksikan peningkatan tahun ke tahun bagi jumlah peserta yang memohon untuk menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) anjurannya.

Pengurus Besar AKPK, Azman Hasim berkata, sejak penubuhan AKPK pada 2006 hingga 31 Ogos 2018, seramai 806,554 individu sudah menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling bersama AKPK.

Katanya, daripada jumlah itu, 240,100 peserta memohon untuk menyertai Program Pengurusan Kredit.

“Sebanyak 17,558 kes hutang berjaya menamatkan PPK dengan jumlah nilai tunggakan RM697.3 juta.

“Punca utama kegagalan peserta membayar pinjaman mereka disebabkan perancangan kewangan yang lemah (40.6 peratus) dan kos sara hidup yang tinggi (26.5 peratus),” katanya kepada Bisnes, di sini.

Menurutnya, Program Pengurusan Kredit oleh AKPK ini membantu peminjam menjadualkan dan menstrukturkan semula pinjaman rumah, pinjaman sewa beli dan pinjaman peribadi atau tunggakan baki kad kredit atau caj yang perlu dibayar kepada penyedia perkhidmatan kewangan di bawah pengawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, objektif AKPK untuk membantu sektor isi rumah dan sistem perbankan menjadi lebih cekap dan berdaya maju dengan cara memudahkan usaha pembayaran balik hutang dan mengurangkan berlakunya kegagalan pembayaran balik berpunca daripada pengurusan kredit yang lemah.

Azman berkata, selain menyediakan PPK, AKPK juga memberi khidmat kaunseling kewangan dan perkhidmatan pendidikan kewangan.

“AKPK telah melebarkan sayap melalui 11 cawangan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching, Melaka, Kuantan, Ipoh, Alor Setar dan Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 8:57 AM