PERUNTUKAN RM10 juta dalam pembangunan e-sukan bantu rangsang permainan digital.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) optimis langkah dilaksanakan kerajaan melalui Belanjawan 2019 dapat membantu mempertingkatkan ekonomi digital.

Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata, pihaknya berharap peruntukan melebihi RM5 bilion Industri 4.0 bagi 2019-2021 membantu merangsang sektor pengeluaran.

Beliau berkata, usaha itu dilihat memberi manfaat kepada ahli sedia adanya menawarkan penyelesaian bagi data besar, Internet Segalanya (IoT), kecerdasan buatan, perkomputeran awan dan automasi.

“Geran Padanan bernilai RM2 bilion pula antara Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIF) dan sektor swasta bagi syarikat berteknologi tinggi dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan syarikat teknologi kepada operasi global.

“Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan dana sehingga RM1 bilion adalah langkah tepat khususnya untuk membantu pertumbuhan segmen e-dagang di Malaysia, selain mempunyai kesan kepada industri berkaitan,” katanya.

Selain itu, peruntukan dana RM10 juta bagi pembangunan e-sukan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian memandangkan ia adalah bidang yang sedang berkembang pesat dan mendapat perhatian dunia.

“Usaha menubuhkan Kumpulan Minat Istimewa dalam e-sukan pada 2019 adalah sebahagian usaha oleh kerajaan yang dapat memacu serta menimbulkan tarikan kepada komuniti,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 turut menyatakan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan untuk memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti perkhidmatan arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan reka bentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang adil mulai 1 Januari 2019.

Ganesh menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan langkah ini dengan berunding dengan industri berkaitan.

Beliau berkata, bagi pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi perkhidmatan terhadap perniagaan ke perniagaan (B2B), pihaknya memahami ia adalah bagi menangani kesan dari cukai ini.

“Kami faham pengecualian ini untuk menangani kesan melata SST untuk perkhidmatan dalam sektor tertentu, tetapi kami memerlukan maklumat.

“Ini pasti menurunkan kos kepada perniagaan yang telah memudaratkan industri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:30 AM