DUTI eksais buka ruang kepada pengeluar hasil minuman kurang gula.

Kuala Lumpur: Harga air minuman bergula seperti air minuman dalam tin dan kotak dijangka naik kira-kira 15 sen susulan pengenalan duti eksais ke atas produk berkenaan mulai 1 April tahun depan.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, kadar itu berdasarkan pengiraan yang dibuat pihaknya dan menjangkakan kos itu tidak akan diserap peniaga, sebaliknya dilepaskan kepada pengguna.

Katanya, tujuan kerajaan melaksanakan duti eksais itu juga bukanlah untuk digunakan bagi hasil kerajaan, tetapi lebih kepada kesihatan.

“Apa yang lebih penting adalah untuk jangka panjang apabila pesakit kencing manis atau diabetes semakin berkurangan, sekali gus mengurangkan beban kos perubatan yang ditanggung kerajaan di hospital awam.

“Malah, mungkin selepas ini pengeluar juga akan mengurangkan kandungan gula di dalam minuman mereka atau mengeluarkan produk tanpa gula,” katanya kepada Bisnes.

Beliau mengulas cadangan kerajaan mahu memperkenalkan duti eksais mulai pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Ia membabitkan air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi lima gram per 100 mililiter dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:00 AM