BELANJAWAN 2019 menyediakan dana pembiayaan RM4.5 bilion untuk PKS Bumiputera.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang daripada pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0) di mana mereka boleh memulakan perniagaan di mana saja tanpa perlu memiliki premis.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawan dan EKS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED), Prof Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, kerajaan juga dilihat memberi sokongan positif terhadap pembangunan industri ini khususnya melalui peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan, baru-baru ini.

“Usaha kerajaan terus memperkukuh dan memperkasa PKS adalah penting untuk memupuk budaya negara keusahawanan dan peruntukan yang diberi perlu digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, dana yang diberi perlu dipastikan sampai kepada mereka yang disasarkan.

“Malah, paling penting adalah bagaimana daya syarikat dan PKS itu sendiri untuk terus berkembang terutama dalam menghadapi RI4.0,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Belanjawan 2019 antaranya menyediakan dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

Shamshubaridah berkata, PKS juga digalakkan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana di setiap IPT mempunyai pusat keusahawan sendiri yang boleh dimanfaatkan usahawan PKS.

Beliau berkata, program mentor dan ilmu pengurusan kewangan adalah antara yang perlu diberi kepada PKS supaya mereka boleh terus maju.

“PKS juga perlu digalakkan menceburi bidang kandungan kreatif. Ini berikutan kita mempunyai banyak sumber kreatif di IPT dan PKS pada masa ini harus bergerak ke arah Internet untuk segalanya (IoT),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 1:00 PM