ZETI
Kamarulzaidi Kamis dan Zarina Zakariah dan Mahanum Abdul Aziz
bisnes@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mampu mengharungi tempoh peralihan dan persekitaran ekonomi dan kewangan domestik serta global yang mencabar ketika ini, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Berdasarkan rekod lalu, beliau berkata, berkali-kali negara ini membuktikan dengan jelas ia berjaya mengharungi krisis ekonomi dan kewangan yang melanda.

Sebagai ekonomi yang terbuka, katanya, sudah pasti ketidaktentuan luaran menjejaskan prestasi ekonomi negara, namun dengan elemen ketahanan yang utuh, membolehkan ekonomi dan sistem kewangan negara pulih dengan pantas.

“Sudah pasti ya...(berjaya mengharungi ketidaktentuan). Kita sudah membuktikan berkali-kali bahawa ekonomi kita utuh. Ya...kita boleh terjejas, tetapi kita selalu mempunyai kemampuan untuk pulih semula kerana kita ada elemen ketahanan yang utuh dalam ekonomi dan sistem kewangan.

“Kita berjaya buktikan sebelum ini dan kita akan membuktikannya sekali lagi,” katanya dalam satu temu bual, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 12:00 PM