PROTON X70 menjadi model yang ditunggu ramai dan dijangka dilancarkan akhir tahun ini.
HM Digital

Kuala Lumpur: Proton mencatatkan pertumbuhan jualan kereta sebanyak 12.6 peratus pada Oktober berikutan penyelarasan pasaran September lalu iaitu selepas pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Proton dalam kenyataan dikeluarkan berkata, 5,093 unit kereta dijual dengan peningkatan sebanyak 569 berbanding bulan sebelumnya dan ada sedikit peningkatan berbanding tempoh sama pada 2017.

Katanya, pegangan pasaran bagi peratusan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 10.7 peratus seiring dengan purata angka untuk tahun ini.

“Peningkatan jualan didorong pelbagai promosi dan penambahbaikan kualiti, meskipun pegangan pasaran keseluruhan Proton menurun pada Oktober.

“Jumlah jualan yang dicapai adalah yang tertinggi sepanjang 2018, selain dari tempoh jualan luar biasa dari Jun sehingga September didorong GST berkadar sifar.

“Dengan pelancaran Proton X70 yang ditunggu ramai dijangka pada hujung tahun ini, model kereta Proton menerima tarikan semula daripada orang ramai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Abdul Rashid Musa berkata, Proton adalah satu-satunya pengeluar kereta di Malaysia yang melaksanakan polisi harga tanpa SST untuk semua model sedia ada.

“Matlamat kami adalah memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan dengan menjadikannya lebih mudah untuk memiliki sebuah kereta Proton.

“Justeru, bagi dua bulan terakhir untuk 2018, kami menawarkan rebat RM3,000 serta akan merancakkan aktiviti jelajah dan karnival untuk memastikan kami dapat mendekati lebih ramai pembeli di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:01 AM