KERAJAAN pikul tanggungjawab jayakan aspirasi rakyat mahu lihat perubahan.
Chedet

KUALA LUMPUR: Sokongan majoriti rakyat yang menentukan kejayaan Pakatan Harapan di dalam pilihan raya umum pada 9 Mei 2018 adalah satu pencapaian yang akan terukir di dalam sejarah negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, secara umum, ia adalah pertukaran pertama parti pemerintah sejak kemerdekaan 61 tahun lalu dan pencapaian yang begitu besar datang bersama tanggungjawab dan harapan yang besar juga.

“Tanggungjawab ini menjadi bertambah berat kerana kerosakan oleh kerajaan kleptokrasi lalu yang perlu diperbetulkan bukanlah kecil.

“Namun, kerajaan yang baharu ini tidak akan melihat tanggungjawab ini semata-mata dari kaca mata ia satu beban, tetapi menerimanya sebagai pelaksanaan amanah yang ia sudah setuju untuk dipertanggungjawabkan,” katanya dalam Kata Pengantar Tinjauan Ekonomi 2019.

Menurutnya, di atas kefahaman sebegini, kerajaan hari ini akan melakukan beberapa perubahan dasar, strategi dan cara pelaksanaan untuk memenuhi harapan rakyat, membina semula serta mengembalikan kegemilangan negara.

“Berteraskan prinsip keadilan, takdir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang, kerajaan yakin ia akan berkeupayaan mentransformasikan negara ke arah Malaysia baharu.

“Bagi mencapai status negara maju dan inklusif, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam hubungan ini, katanya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan sedang mempromosikan usaha untuk mewujudkan negara keusahawanan serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan rakyat, profesional, sektor swasta dan awam (4P) (people, professionals, private, public sectors) untuk menerajui pelbagai inisiatif pembangunan negara.

“Selain itu, dalam melaksanakan pengurusan fiskal berhemat, Kementerian Kewangan juga akan mempercepat pelaksanaan sistem bajet asas-sifar, merasionalisasikan program bantuan, menambah baik proses perolehan serta memperluas asas hasil,” katanya.

Menurutnya, Malaysia berhasrat untuk memperteguh semula kedudukan negara pada peringkat antarabangsa melalui pembabitan secara aktif dengan komuniti global.

Bagi tujuan ini, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan dagang utama dan negara yang berpotensi menjadi rakan dagang melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang mesra dan bersesuaian dengan prinsip Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Dengan mendukung prinsip memakmurkan jiran, Malaysia akan terus memberi penekanan kepada menjalinkan kerjasama erat dengan anggota ASEAN dan blok perdagangan serantau yang lain.

“Di samping itu, tumpuan lebih utama juga akan diberikan bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan China dan Jepun seiring dengan Dasar Pandang Ke Timur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 1:21 PM