KADAR pengangguran di Malaysia berada di bawah empat peratus yang membuktikan ekonomi berada di bawah guna tenaga penuh.
Nabil Basharuddin
cnews@nstp.com


KUALA LUMPUR: Sejak dua dekad lalu, kadar pengangguran di Malaysia berada di bawah empat peratus yang membuktikan bahawa ekonomi berada di bawah guna tenaga penuh.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 pada 2017, kadar pengangguran bagi warganegara Malaysia mencatat 3.7 peratus, namun ia merentasi pelbagai etnik.

Bumiputera mencatatkan bilangan penganggur paling ramai iaitu empat peratus mewakili jumlah 336,400, diikuti Cina 2.4 peratus, 77,100, India 4.7 peratus, 43,300 dan lain-lain 6.6 peratus, 6,600.

Pada 2017 juga menyaksikan kadar pengangguran warganegara lebih tinggi bagi perempuan 3.8 peratus berbanding lelaki 3.6 peratus, selaras dengan kajian menyatakan bahawa perempuan lebih cenderung untuk menyertai semula tenaga buruh sekiranya terdapat keperluan berkaitan keluarga.

Selain itu, ia juga disebabkan majikan cenderung menggaji lelaki berdasarkan komitmen lebih tinggi untuk bekerja lebih masa.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pengangguran di kalangan belia mencatatkan kadar tertinggi sekitar 13.2 peratus.

Ia disebabkan kekurangan pengalaman kerja dan tahap kemahiran atau pendidikan yang tidak mencukupi untuk bersaing di pasaran buruh.

Ia juga dikaitkan dengan ketidakpadanan kemahiran di mana banyak kekosongan jawatan dalam pasaran buruh di bawah kategori pekerja kurang mahir dan separuh mahir kurang digemari dan tidak sesuai untuk graduan yang baru menamatkan pengajian.

Menurut laporan berkenaan, Bumiputera dengan pendidikan tertiari merekodkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 4.6 peratus berbanding yang tiada pendidikan rasmi.

Namun, berbeza dengan kaum Cina dan India di mana mereka yang tiada pendidikan rasmi mencatatkan kadar pengangguran tertinggi masing-masing pada 3.0 peratus dan 6.9 peratus.

Kadar pengangguran yang tinggi di kalangan mereka yang berpendidikan tertiari antaranya disebabkan terdapat jurang kemahiran.

Berdasarkan kaji selidik Bank Dunia dan Talent Corp pada 2014 mendapati 90 peratus syarikat percaya graduan seharusnya mempunyai lebih banyak latihan industri sebelum menamatkan pengajian.

Namun, kajian juga menunjukkan kurang 10 peratus syarikat mempunyai pengalaman dalam membangunkan kurikulum atau program bersama universiti.

Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan melaksanakan beberapa langkah untuk menggalakkan syarikat membantu graduan.

Sehingga 31 Ogos 2018, seramai 125,986 graduan dibantu melalui pelbagai program.

Pada masa ini, 539 syarikat antaranya Maybank, CIMB, Axiata, Celcom, Huawei dan Intel sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:47 PM