ALIZA dan Widayu (kanan) menunjukkan minuman Chatime berasaskan teh, koko dan kopi. FOTO/ROSDAN WAHID
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Chatime Malaysia Sdn Bhd, pemegang francais induk minuman teh berjenama Chatime merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal bagi pengeluaran bahan mentah produk itu di Asia.

Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, ia adalah sebagai usaha dalam menghasilkan rantaian pembekalan bahan mentah halal kepada perniagaan Chatime di rantau ini.

Beliau berkata, bagi melaksanakannya, pihaknya akan membuka kilang pengeluaran bahan mentah itu di beberapa lokasi yang dikenal pasti bersesuaian iaitu di Pahang atau Negeri Sembilan.

“Buat masa ini, Chatime Malaysia adalah satu-satunya pemegang francais yang mempunyai pensijilan halal dan sewaktu Persidangan Chatime Global 2018 baru-baru ini, kami diberi peluang untuk menerajui bagi segmen halal.

“Jadi, kami merancang untuk memperkukuhkan pengenalan produk dengan pensijilan halal dan untuk itu banyak pelan strategik mengenainya akan dilaksanakan.

“Antaranya adalah dengan membuka kilang pengeluaran bahan mentah halal untuk rangkaian Chatime lain di rantau ini,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Chatime Malaysia ialah anak syarikat milik penuh Will Group Sdn Bhd, dan Chatime memasuki Malaysia pada 2011 yang mana pemilik jenama global Chatime ialah La Kaffa International Co.

Chatime yang diasaskan di Taiwan menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Mac lalu.

Penganugerahan sijil halal itu akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna selain membolehkan syarikat itu berkembang ke peringkat antarabangsa terutama Asia Barat.

Sehingga kini, Chatime menawarkan lebih 70 menu minuman berasaskan teh, koko dan kopi dan antara menu popular adalah Pearl Milk Tea.

Sementara itu, Aliza berkata, pihaknya mengunjurkan untuk mempunyai sebanyak 150 cawangan pada 2019 yang beroperasi dalam negara.

“Ketika ini, Malaysia adalah pasaran terbesar Chatime dan kami mahu mengekalkannya justeru kami memfokuskan kepada perniagaan dalam negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 4:00 AM