HO
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Platform e-dagang Shopee berharap kerajaan mempertimbang untuk tidak memperkenalkan cukai ke atas perkhidmatan sektor e-dagang di negara ini pada Bajet 2019.

Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata, sebagai pemain industri di negara ini, pihaknya berharap kerajaan menangguhkan sebarang pengenalan sehingga pasaran e-dagang di Malaysia matang.

Katanya, ekosistem e-dagang berkembang kerana kos operasi dan halangan kemasukan yang rendah menyumbang kepada harga jualan yang murah.

Bagaimanapun, katanya, pasaran e-dagang di Malaysia masih baru dan mengalami perkembangan pesat.

“Sekiranya kerajaan mengenakan cukai jualan dalam segmen ini, ia memberi impak kepada usahawan yang ingin meneroka cabang e-dagang.

“Ia menyebabkan berlaku peningkatan harga barang dalam talian yang mengakibatkan kadar beli-belah dalam talian menurun dan sukar dilaksanakan.

“Malah, negara yang menerajui dalam sektor e-dagang dunia juga belum menguatkuasakan cukai ke atas perniagaan ini termasuk India dan Kanada.

“Mengambil contoh di China, ia hanya mengenakan cukai ringan ke atas perniagaan e-dagang yang memberi kesan kepada penjual rentas sempadan,” katanya.

Katanya, segala harapan pada belanjawan November ini selari dengan aspirasi kerajaan meneroka potensi keseluruhan pembangunan ekonomi digital.

“Perkara ini memperlihatkan Shopee sebagai pemain industri yang komited dengan pelaburan dan kemakmuran ekonomi tempatan,” katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 9:50 AM