MUHAMMAD Fikri (tiga dari kiri) bersama Azmi pada majlis pelancaran Pengedaran Secara Langsung dan penyampaian sumbangan kepada waris enam anggota bomba.
Suffian A Bakar
suffian@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) memperkenalkan saluran pengedaran langsung dalam talian yang menandakan bermulanya perjalanan transformasi digital industri takaful di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, ia antara usaha yang kini dipergiatkan MTA bagi menyokong kerajaan mencapai aspirasi 25 peratus penduduk negara ini memiliki perlindungan takaful menjelang 2020.

Beliau berkata, pengendali takaful keluarga di Malaysia kini boleh menawarkan produk perlindungan bebas komisen kepada pelanggan secara langsung dalam talian menerusi saluran pengedaran langsung itu.

Katanya, produk pertama ditawarkan menerusi saluran pengedaran langsung itu ialah perlindungan bertempoh yang menyediakan perlindungan ke atas kematian dan ketidakupayaan kekal sehingga RM500,000 bergantung kepada umur kemasukan individu.

“Produk itu kini boleh didapati secara dalam talian di laman web pengendali takaful atau boleh diakses di cawangan pengendali takaful bergantung kepada strategi saluran pengedaran langsung yang diguna pakai pengendali terbabit,” katanya pada majlis pelancaran saluran pengedaran langsung itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Azli Munani, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Komunikasi Korporatnya, Shahrul Azlan Shahriman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Azmi Osman.

Sementara itu, Shahrul Azlan berkata pengenalan saluran pengedaran langsung itu adalah aspirasi pembangunan industri untuk mempelbagai dan mewujudkan saluran pengedaran yang berkesan dari segi kos kepada pengguna.

“Adalah diharapkan ia dapat meningkatkan lagi kadar penembusan bagi takaful keluarga, selain meraih segmen pasaran baharu,” katanya.

Kadar penembusan takaful keluarga di negara ini menunjukkan pertumbuhan mendatar.

Data MTA menunjukkan kadar penembusan 14.0 peratus pada 2013; 14.3 peratus (2014); 14.7 peratus (2015); 14.6 peratus (2016); dan 14.8 peratus (2017).

Setakat Ogos 2018, kadar penembusan takaful keluarga ialah 15.0 peratus.

Pada majlis sama MTA menghulurkan bantuan wang tunai RM10,000 setiap satu kepada waris enam anggota bomba yang mati lemas ketika operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:00 AM