​PELANGGAN Senheng yang terpilih menyertai percutian ke Hawaii.

KUALA LUMPUR: Senheng Electric (KL) Sdn Bhd melancarkan Kempen Jurassic Experience dengan pelbagai tawaran menarik sebagai ganjaran kepada ahli PlusOne sempena filem Jurassic World: Fallen Kingdom.

Salah satu ganjaran lumayan dalam kempen ini adalah lawatan ke Hawaii secara percuma di mana 10 pelanggan bertuah dipilih menghayati pengalaman di taman tema Jurassic.

Pengarah Urusannya, KH Lim berkata, pihaknya berbesar hati dengan pencapaian yang dicatatkan pada hari ini dan ia daripada sokongan berterusan pelanggan.

“Kami mengumumkan selama 29 tahun berada di dalam bidang perniagaan ini, kami semakin maju dan menjadi semakin kukuh.

“Kami bangga dengan misi kami untuk memberikan nilai terhebat, kemudahan dan pengalaman membeli-belah seamless yang hebat kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai menghargai pelanggan setia, pihaknya memberikan pelbagai ganjaran termasuk hadiah percutian percuma.

“Kami menawarkan pelbagai hadiah dan peraduan sepanjang tahun bagi membolehkan pemenang bertuah melancong ke seluruh dunia secara percuma.

“Ia termasuk percutian ke Korea, Los Angeles, London dan terbaru ke Hawaii.

“Malah, kami akan menawarkan lawatan ke Rusia bagi kempen seterusnya,” katanya.

Kempen kerjasama dengan Panasonic Malaysia, AEON Credit Service and Citi Visa ini menyaksikan 35,776 borang penyertaan diterima.

Ia turut menyumbang kepada jumlah jualan bernilai RM280 juta sepanjang tempoh kempen.

Bagi rakan strategik Senheng, Panasonic Malaysia mencatatkan jumlah jualan RM40 juta, manakala AEON Credit Service dan Citi Visa masing-masing mengumpul jumlah jualan RM31 juta dan RM13 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 4:30 AM