RAJA Kamarul Bahrin (dua dari kanan) melawat ruang pameran selepas melancarkan Kongres Dunia Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018, semalam.
Azzman Abdul Jamal
azzman@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk membangunkan loji sisa kepada tenaga (WTE) dalam usaha meningkatkan kadar kitar semula daripada 24 peratus kepada 30 peratus menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, projek itu masih dalam perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mencapai kata putus berhubung pengurusan dan kos pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan pada masa ini menyasar untuk membangunkan projek perintis itu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Dengan jumlah penduduk 32 juta, Malaysia dianggarkan membuang sehingga 38,000 tan metrik sampah setiap hari, menjurus kepada RM1.5 bilion terpaksa dibelanjakan untuk kerja pengutipan sampah setiap tahun.

“Daripada jumlah itu, kadar kitar semula dan pengasingan sisa adalah pada kadar 24 peratus, manakala 76 peratus dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Kadar ini adalah rendah berbanding negara seperti Singapura dan Hong Kong yang mencatatkan kadar kitar semula lebih pada 70 peratus,” katanya pada Pelancaran Kongres Dunia Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, disebabkan ruangan terhad di tapak pelupusan sampah baru, pihak berkuasa di bandar utama Malaysia kini sedang mengkaji pendekatan terbaik untuk pengurusan sisa pepejal.

“Malah, tujuh negeri sudah menandatangani perjanjian berhubung pembuangan sisa, membolehkan kerajaan Persekutuan menyelaraskan proses pengurusan dengan lebih cekap.

“Tujuh negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri lain juga dialu-alukan untuk menyertai usaha sama ini.

“Menerusi perjanjian itu, kami melantik Alam Flora Sdn Bhd untuk pengurusan sisa di Wilayah Tengah, SWM Environment Sdn Bhd (Wilayah Selatan) dan E-Idaman Sdn Bh untuk Wilayah Utara,” katanya.

Katanya, Malaysia kini mempunyai 148 tapak pelupusan sampah dan 18 tapak pelupusan sanitari.

Kata beliau lagi, kerajaan juga sedang pertimbang untuk mewujudkan loji insinerator di beberapa tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 4:30 AM