DR Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Wartawan NSTP
bisnes@nstp.com.my


REFORMASI dan akauntabiliti terus menjadi tonggak pentadbiran kerajaan bagi membuka ruang kepada dasar baharu dan reformasi institusi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, secara dasarnya, peralihan politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) mencerminkan harapan rakyat ke arah ketelusan, akauntabiliti fiskal dan reformasi sosioekonomi yang lebih meluas.

Katanya, reformasi itu perlu sekiranya Malaysia berhasrat untuk pulih, membangun semula dan muncul kembali sebagai sebuah negara yang bangga dengan pencapaian dan kemampuan untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.

“Suatu ketika dahulu, Malaysia pernah digelar sebagai Harimau Asia, dan untuk bangkit semula, kita perlu menjajar semula tumpuan dan menyesuaikan semula strategi kita.

“Justeru, langkah reformasi ini termasuk menambah baik tadbir urus, mempercepat inovasi, melonjak produktiviti dan meningkatkan industri dalam rantaian nilai yang lebih tinggi

“Di samping itu, usaha ini juga meliputi langkah mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mencapai pertumbuhan inklusif,” katanya dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata, Kajian Separuh Penggal RMK11 dengan keutamaan dan penekanan baharu bertujuan untuk mereformasi dasar sedia ada dan menggariskan sasaran sosiekonomi yang disemak semula bagi tempoh 2018-2020.

“Kajian separuh penggal ini mengambil kira aspirasi kerajaan baharu, cabaran ekonomi dan trend global semasa.

“Usaha akan ditumpu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di samping memastikan manfaat yang lebih besar kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam hubungan ini, katanya, prinsip tadbir urus yang baik, institusi yang mantap serta integriti dan akauntabiliti lebih tinggi akan diperkukuh untuk meliputi seluruh pentadbiran kerajaan baharu bagi mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Malaysia Baharu perlu mempamerkan kekuatan, keyakinan dan harapan. Dengan mandat yang diberikan rakyat, negara ini akan maju ke hadapan dengan langkah yakin dan berani.

“Menyedari kejayaan yang dicapai pada masa lalu, kita pasti akan lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 5:24 PM