Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula langkah untuk menganjurkan kempen hartanah yang dilihat mampu membantu pemaju dalam menjual unit hartanah berlebihan di pasaran.

Penaungnya Datuk Ng Seing Liong berkata, kempen seumpama itu pernah dianjurkan pihak kerajaan sebelum ini di mana pemaju diberi pengecualian duti setem untuk menjual rumah dalam usaha memastikan masalah lebihan unit rumah di pasaran dapat ditangani.

“Dalam masa sama, kami berharap Bank Negara Malaysia akan memberi sedikit kelonggaran daripada aspek pembiayaan terutama untuk pembeli rumah pertama bagi memastikan ia mampu dimiliki golongan terbabit,” katanya pada sidang media Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 di sini, semalam.

Pada 26 September lalu, Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa bilangan unit rumah yang tidak terjual meningkat kepada kira-kira 146,196 unit pada akhir suku pertama 2018 dengan lebih 80 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

Beliau berkata, pada masa ini lebihan bekalan rumah di pasaran berkisar kepada jualan hartanah mewah saja yang lazimnya terletak di lokasi tidak strategik.

“Oleh itu, saya lihat penganjuran kempen seperti kempen rumah komersial yang pernah dianjurkan pada zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1999 ini akan menjadi platform terbaik untuk mengurangkan beban pemaju dalam menjual unit hartanah yang berlebihan di pasaran,” katanya.

Mengulas mengenai impak pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan dan bahan binaan, Ng berkata langkah terbabit hanya memberi impak kepada kos pembinaan sahaja di mana tiada penurunan peratus atau angka tertentu dalam kos terbabit.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti angka penurunan terbabit kerana ia bergantung kepada penggunaan bahan binaan yang digunakan setiap pemaju.

“Kami masih melakukan kajian mengenai impak pengecualian SST terhadap kos pembinaan ini namun pada masa ini kami mengambil pendirian untuk menyerahkan perkara ini kepada ahli REHDA untuk mengambil langkah bersesuaian untuk pembeli seperti mengurangkan harga rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 11:58 AM