RIZAL (tengah) ketika sesi taklimat khas Program Pementoran PKS.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp), Nestle Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) akan terus bekerjasama bagi meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Program Pementoran PKS.

Program Pementoran PKS memfokus untuk membantu PKS yang menceburi industri Makanan dan Minuman Halal (F&B).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, program ini diperkenalkan sejak 2010 dan seramai 777 peserta sudah dilatih.

Katanya, setiap tahun dianggarkan 80 hingga 100 PKS akan menyertai Program Pementoran PKS ini.

“SME Corp, Nestle Malaysia dan HDC telah mewujudkan kerjasama strategik ini bagi menawarkan peluang kepada PKS untuk berkongsi, meneroka dan meningkatkan pengetahuan mengenai cara menambahbaik prestasi perniagaan agar dapat bersaing di pasaran global.

“Berdasarkan data SME Corp, terdapat kira-kira 900,000 PKS di negara ini dan hanya 10,000 hingga 12,000 daripada mereka dalam industri F&B halal.

“Kami komited untuk meningkatkan pengetahuan mengenai pengoptimuman pengeluaran, pengukuran aktiviti operasi, pelaksanaan peraturan makanan, keperluan pelabelan, pemasaran dan jualan, serta banyak lagi kepada PKS yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:54 AM