MEER (kanan), Pengurus Besar HABIB, Mohd Zaruddin Mahmud (kiri) dan Datin Diana Danielle pada sambutan 20 tahun HABIB di Suria KLCC.
Intan Mas Ayu Shahimi
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun ke-20 pembukaan butik Habib Suria KLCC, syarikat barang kemas terbabit menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus, bermula hari ini (Jumaat).

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Habib berkata, diskaun itu sah untuk tiga hari bagi koleksi emas permata dan berlian terpilih.

“Kita berbangga dengan pencapaian Habib sehingga ke hari ini. Butik di Suria KLCC ini menandakan garis mula Habib Jewels Sdn Bhd di mercu kebanggaan rakyat Malaysia.

“Kita di sini sejak hari pertama Suria KLCC. Ia bukan sekadar lokasi terbaik, malah dikunjungi pelancong serata dunia.

“Lokasi ini cukup sesuai dengan konsep Habib yang sentiasa menawarkan produk bertaraf antarabangsa pada harga tempatan,” katanya.

Menurut Meer, Habib juga menawarkan diskaun sehingga RM20 bagi setiap gram emas 916 dan 999.

“Pelanggan juga boleh mendapatkan loket emas 916 pada harga serendah RM118, diskaun 50 hingga 80 peratus untuk barang kemas terpilih serta jam Ice-Watch ICE Glam bagi setiap pembelian RM5,000 dalam satu resit.

“Semua keistimewaan ini hanya boleh dinikmati di Habib Suria KLCC saja,” katanya.

Sementara itu, menurutnya pasaran barang kemas dilihat tidak terjejas dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula awal September lalu.

“Selepas regim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan, kita lihat pelaksanaan SST tidak menjejaskan pasaran barang kemas kerana produk daripada kategori ini tidak dikenakan SST.

“Ini membolehkan pelanggan menikmati harga rendah untuk barang kemas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:00 PM