LOKE (tengah) bersama Syed Anwar (empat dari kiri) dan Raja Azmi (empat dari kanan) merasmikan majlis pecah tanah, semalam.
Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my

SEPANG: Sektor penerbangan dijangka menyumbang AS$1.97 bilion (RM8.13 bilion) secara langsung kepada negara dan memberi hasil AS$6.3 bilion (RM25.31 bilion) kepada sektor pelancongan tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sektor penerbangan di Malaysia menyumbang 3.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara (KDNK) dengan mencipta lebih 460,000 peluang pekerjaan.

Loke berkata, pengangkutan udara adalah pemacu kepada perdagangan antarabangsa dan e-dagang membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang mana secara tidak langsung mampu meningkatkan perolehan sektor penerbangan daripada perniagaan yang pelbagai.

Beliau berkata, lebih membanggakan apabila sehingga Ogos lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan 40 juta penumpang bagi kedua-dua terminal dengan klia2 mencatatkan 21.3 juta penumpang, meningkat 7.8 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pertumbuhan memberangsangkan itu menyokong unjuran Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang menjangkakan industri penerbangan bagi rantau Asia Pasifik berkembang 4.9 peratus.

Katanya, pertumbuhan jumlah penumpang di rantau Asia Pasifik juga diramal akan mewakili 53 peratus pertumbuhan global dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pada 2040, ACI meramalkan pusat penerbangan akan beralih ke bahagian timur di mana tujuh daripada 10 negara bagi pegangan pasaran penumpang global datang daripada wilayah Asia Pasifik.

“Dengan kemudahan perhubungan syarikat penerbangan yang kukuh dan penawaran yang lebih meluas ke lebih 130 destinasi di seluruh dunia, ditambah lagi dengan kelebihan geografi yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Pasifik, KLIA bersedia memanfaatkan pertumbuhan ini.

“KLIA juga mempunyai kelebihan apabila menawarkan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan dan luar negara dengan menawarkan penerbangan kos rendah dan penuh, sekali gus meletakkan KLIA pada landasan kukuh sebagai hab yang kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Pemprosesan Bersepadu (Keselamatan, Imigresen dan Kastam) khusus bagi Kru Penerbangan di klia2, Sepang, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Pemangku CEO Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin dan Pengerusi MAHB, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Loke berkata, pusat keselamatan bagi kru penerbangan bernilai RM2.7 juta itu adalah contoh terbaik dalam usaha meningkatkan kecekapan daripada pelbagai pihak.

Pusat itu yang dijangka siap pada pertengahan 2019 akan menempatkan tiga kaunter imigresen dan satu kaunter kastam serta laluan pejalan kaki bagi kru penerbangan ke pintu pelepasan.

Ia akan memendekkan tempoh perjalanan kru penerbangan daripada 15 minit ke 30 minit kepada hanya 10 minit, penjimatan hampir 40 peratus jarak perjalanan.

Sementara itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan Majlis Penerbangan Malaysia pada November ini bagi membincangkan dan memperincikan perkara berkaitan industri penerbangan.

Katanya, persediaan itu penting bagi memastikan usaha berterusan ke arah meningkatkan daya saing industri penerbangan negara.

“Majlis yang akan dipengerusikan oleh saya akan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang untuk membincangkan mengenai isu dan dasar yang berkaitan dengan industri penerbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 4:05 AM