NOORMAH
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan kerjasama dengan BusOnlineTicket.com (BOT), laman tempahan dalam talian bagi pembelian tiket bas dan perkhidmatan seperti pakej hotel, tren, feri, pelancongan dan promosi hotel.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, usaha sama strategik itu sejajar dengan misi ERL dalam menyediakan perkhidmatan yang pantas, boleh dipercayai, selesa dan mudah bagi pengembara.

Beliau berkata, pihaknya bangga menjadi rakan kerjasama BOT yang mampu mengembangkan asas pelanggan ERL serta mencapai pelanggan BOT.

“Pengembara kini boleh merancang perjalanan dengan mudah kerana boleh melakukan pembelian tiket KLIA Ekspress melalui saluran jualan BOT.

“Malah, bermula 19 September hingga 31 Oktober ini, pelanggan yang membuat pembelian tiket KLIA Ekspress di laman web BOT berpeluang menikmati tambang istimewa RM48 untuk perjalanan sehala bagi dewasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jualan BOT, Chong Kok Chuin berkata, jalinan kerjasama itu dilihat berupaya meningkatkan kemudahan pengembara khususnya kepada mereka yang melawat ke negara ini.

Katanya, pihaknya mampu membantu ERL untuk menjangkaui pasaran utama di luar Malaysia seperti China dan Singapura dengan menawarkan produk pertukaran ke lapangan terbang dengan mudah dan berkualiti.

“Sistem tempahan kami adalah mesra pengguna dan sangat berinformasi.

“Kami bangga dapat menawarkan kemudahan BOT sebagai laman tempahan sehenti kepada pelanggan kami serta ERL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 12:40 PM