Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines, penerbangan rasmi bagi MATTA Fair 2018 mengumumkan tawaran diskaun sehingga 30 peratus bagi perjalanan domestik dan antarabangsa sempena acara itu yang bakal berlangsung dari hari ini hingga 9 September 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Syarikat pengangkutan negara itu juga menawarkan pelbagai manfaat perjalanan termasuk diskaun 25 peratus bagi MH Insurance, elaun bagasi tambahan, pilihan tempat duduk dan pembelian akses Golden Lounge di Kuala Lumpur.

Tambang semua termasuk bagi Kelas Ekonomi ke destinasi antarabangsa bermula daripada RM699 ke Hong Kong, RM1,059 (Nanjing), RM1,099 (Beijing), RM1,159 (Seoul), RM1,259 (Mumbai), RM1,299 (Kathmandu), RM1,479 (Sydney), RM1,659 (Brisbane) dan RM2,899 (London).

Ketua Pegawai Perolehan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, pembabitan syarikatnya dalam acara itu adalah bukti hubungan jangka panjang dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam bekerjasama mempromosikan industri pelancongan dan Hospitaliti Malaysia kepada pelanggan dan rakan perniagaan.

“Kami harap pelanggan dapat mengambil peluang untuk merancang percutian mereka pada masa depan dan membeli tiket penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly sekarang sebelum promosi ini berakhir,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Malaysia Airlines turut menawarkan diskaun bermula daripada 30 peratus untuk perjalanan ASEAN dengan tambang semua termasuk bermula daripada serendah RM379 ke Singapura, RM559 (Bangkok) dan RM639 (Bali).

Tambang domestik dari Kuala Lumpur pula turut boleh didapati daripada harga serendah RM279 ke Pulau Pinang, RM459 (Kuching) dan RM559 (Kota Kinabalu).

Semua tambang sah untuk perjalanan yang bermula 9 September 2018 hingga 31 Ogos 2019 bagi perjalanan antarabangsa dan 7 September 2018 hingga 31 Ogos 2019 bagi destinasi domestik dan ASEAN.

Bersempena acara itu, Malaysia Airlines akan mengadakan pelbagai aktiviti menyeronokkan dengan hadiah terbaik termasuk peluang memenangi satu tiket Kelas Perniagaan ke London dan Seoul serta empat tiket Kelas Ekonomi ke Nanjing, Madras, Phnom Penh dan Langkawi melalui Peraduan Pembeli.

Dalam masa sama, pengunjung bertuah turut berpeluang memenangi tiket Firefly ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Johor Bahru.

Selain itu, hadiah lain adalah termasuk naik taraf percuma kepada Kelas Perniagaan Malaysia Airlines dengan pembelian tiket penerbangan Kelas Ekonomi apabila pelanggan membeli tiket secara atas talian bermula hari ini hingga 9 September 2019 atau di MATTA Fair 2018 bermula dari hari ini hingga 9 September 2018.

Malaysia Airlines turut menawarkan diskaun terbaik bagi tambang penerbangannya melalui ejen pelancongan dilantik yang mengambil bahagian dalam MATTA Fair serta laman web, www.malaysiaairlines.com dan aplikasi Malaysia Airlines bermula hari ini hingga 12 September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:21 AM