MOHD Hasmadi (dua dari kiri) bersama Ketua Pemasaran A&W Malaysia melancarkan khidmat penghantaran A&W, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: A&W (Malaysia) Sdn Bhd yakin meningkatkan jualannya antara lima hingga lapan peratus bagi setiap cawangan yang menyediakan perkhidmatan penghantaran A&W.

Ketua Operasi A&W, Mohd Hasmadi Zainal berkata, sebagai permulaan pihaknya memperkenalkan perkhidmatan penghantaran di lapan cawangan utama sekitar Lembah Klang dan bekerjasama dengan penyedia penghantar makanan, honestbee.

Katanya, A&W komited memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan terutama mereka yang ingin menikmati hidangan A&W, tetapi mempunyai kekangan masa mendapatkannya.

“Kami akan mengembangkan perkhidmatan penghantaran A&W ini secara berperingkat ke semua rangkaian A&W di seluruh negara, namun buat masa ini kami memberi tumpuan di lokasi sekitar Lembah Klang.

“Antara cawangan yang dijangka menyediakan perkhidmatan penghantaran selepas ini adalah di Sri Petaling, Kajang dan Cyberjaya,” katanya pada majlis pelancaran penghantaran A&W di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Korporat A&W Malaysia, Norashekin Yusof dan Pengurus Akaun Utama honestbee, Ryan Wan.

Mohd Hasmadi berkata, pihaknya percaya menerusi pengenalan perkhidmatan penghantaran ini, syarikat akan mencatatkan peningkatan jualan lima hingga lapan peratus sebulan bagi setiap rangkaian yang menyediakan servis berkenaan.

Beliau berkata, lapan cawangan A&W terbabit ialah di Setapak Central, Wangsa Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sunway Geo, Seksyen 7 Shah Alam dan PJ Palm.

“Bagi setiap penghantaran, caj dikenakan hanya RM4.99 dan bermula 5 September hingga 18 Oktober bagi pelanggan yang membuat tempahan penghantaran akan mendapat air botol RB 600ml secara percuma,” katanya.

Perkhidmatan itu disediakan dari jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Orang ramai boleh membuat tempahan perkhidmatan penghantaran A&W dengan log masuk laman honestbee.my atau menerusi aplikasi honestbee dan masukkan lokasi dan pilihan makanan, waktu penghantaran serta butiran pelanggan.

Mohd Hasmadi berkata, pada masa ini A&W mempunyai 43 rangkaian restoran di seluruh negara dan terbaru di Paradigm Mall Johor Bahru.

“Kami merancang membuka lebih banyak rangkaian di lokasi berpotensi pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:59 AM