TIMBALAN Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abdul Aziz (kanan) merasmikan Halfest Giant 2018, semalam sambil disaksikan Mohd Shukri (kiri) dan Canivet (dua dari kanan).
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Seri Kembangan: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail), pengendali pasar raya besar Giant bekerjasama dengan Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia) bagi menganjurkan Fiesta Halal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Halfest Giant 2018, September ini.

Ekspo halal terbesar di Malaysia yang memasuki edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan Giant sebagai penganjur bersama bagi memastikan acara tahunan itu dianjurkan dengan lebih baik tahun ini.

Pengarah Komersial GCH Retail Thierry Canivet berkata, kerjasama dengan Shapers Malaysia membuktikan pencapaian bagi jenama Giant meneruskan kempen kos rendah bagi barangan harian.

“Kerjasama ini menunjukkan komitmen kami menyokong inisiatif kerajaan dalam pembangunan industri halal,” katanya pada majlis prapelancaran Halfest Giant 2018 di sini, semalam.

Halfest Giant 2018 akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan pada 26 hingga 30 September ini dan ia dibuka kepada orang ramai jam 11 pagi hingga 9 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, acara itu adalah ekspo pengguna halal berpusat yang menjadi platform usahawan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mempromosikan produk dan perkhidmatan halal di pasaran negara ini.

Menurutnya, Halfest Giant 2018 akan menempatkan 677 ruang pameran dengan anggaran 550 pempamer terdiri daripada jenama runcit besar seperti McDonald’s dan Cornell serta institusi kewangan dan syarikat takaful.

“Kami menjangka acara bertema Halfest Giant Super Berbaloi Warehouse Sale ini menarik kunjungan 150,000 individu sepanjang lima hari acara berlangsung.

“Pengunjung berpeluang menikmati diskaun bagi pelbagai pilihan produk popular di samping penganjuran aktiviti seisi keluarga dan usahawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:59 AM