RUMAH Mampu Milik Johor yang disediakan pemaju SP Setia di Setia Business Park 2, Johor Bahru.
HM Digital

Kuala Lumpur: SP Setia Bhd (SP Setia), syarikat hartanah terkemuka tempatan mempunyai simpanan tanah seluas 3,879.72 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM155.94 bilion sehingga 30 Jun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen berkata, jumlah terbabit mencukupi bagi syarikat untuk terus mengekalkan kedudukannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk melancarkan beberapa projek baru bernilai RM4 bilion pada separuh kedua 2018, sejajar dengan sasaran mencapai jualan RM5 bilion untuk tahun ini.

“Meskipun berdepan dengan cabaran, SP Setia masih mampu merekodkan angka jualan yang baik termasuk projek tempatan yang menyumbang jualan sebanyak RM1.41 bilion, dengan bakinya adalah daripada projek di luar negara.

“Pada separuh kedua tahun ini, kami akan melancarkan beberapa projek baru yang mana kira-kira dua pertiga daripadanya adalah pembangunan hartanah di dalam negara.

“Prospek kumpulan pada masa depan dijangka kekal positif dengan jumlah jualan belum dibilkan atau diterima berjumlah RM8.12 bilion, selain 46 projek yang sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:59 PM