MEER Sadik ketika sidang media berhubung koleksi barangan kemas sempena Hari Kebangsaan Malaysia. FOTO Rosela Ismail
Farah Adilla
bisnes@nstp.com.my


HABIB Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels) mengunjurkan sentimen pembelian yang semakin meningkat untuk barang kemas sepanjang tahun ini kerana ia adalah antara barang yang dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, trend ini dijangkakan berterusan sehingga akhir tahun memandangkan terdapat peningkatan keyakinan dalam kalangan pengguna.

“Malah, kami juga gembira kerana barang kemas kekal dikecualikan daripada cukai baru ini sama seperti dahulu," katanya.

Habib Jewels mencatatkan peningkatan jualan sehingga 30 peratus didorong oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar sifar sepanjang tempoh tiga bulan lalu.

“Momentum pembelian juga berkembang sejajar dengan peluang yang diambil oleh pelanggan sepanjang tempoh cukai berkadar sifar ini,” katanya.

Meer Sadik berkata, selain GST yang berkadar sifar bermula 1 Jun lalu, prestasi cemerlang jualan Habib Jewels juga bersandarkan kepada perkembangan trend membeli dalam kalangan pelanggannya pada musim perayaan.

“Kami turut menyaksikan trend membeli yang meningkat dari generasi lebih muda pada platform jualan lain seperti laman web beli-belah atas talian dan televisyen," katanya kepada media pada majlis Bazar Merdeka Habib Jewel di Kuala Lumpur, hari ini.

Bazar Merdeka adalah sambutan tahunan bersempena Hari Kebangsaan dan Habib meyambutnya selari dengan identiti sebagai jenama barang kemas yang melambangkan warisan dan tradisi Malaysia.

Habib meraikan Jualan Merdeka tahun ini dengan jualan Bazar Merdeka selama 10 hari bermula dari 24 Ogos sehingga 2 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 7:16 PM