Fahmi (kanan) dan Syahrunizam pada pembukaan rasmi hab operasi utama TNG Digital di Bangsar South.
Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: TNG Digital Sdn Bhd, syarikat usaha sama Touch ‘n Go Sdn Bhd dan Ant Financial Services Group akan menampilkan lebih banyak ciri baru pada aplikasi pembayaran digital yang dibangunkannya, Touch ‘n Go eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, aplikasi e-dompet yang masih di peringkat awal itu menjadi platform digital kepada rakyat di negara ini merasai ekosistem pembayaran yang selamat, mudah dan lancar dengan menggunakan kod QR bagi urusan pembayaran.

Beliau berkata, setakat ini sambutan menggalakkan dengan 300,000 orang memuat naik aplikasi berkenaan dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 500,000 pengguna dalam bulan akan datang.

Ketika ini, aplikasi e-dompet itu membolehkan pengguna membuat pembayaran, menambah nilai kredit mudah alih, pemindahan wang dan menonton wayang.

“Dengan aplikasi e-dompet ini, pengguna kad Touch ‘n Go (TnG) boleh mengakses maklumat mengenai kad mereka menerusi aplikasi e-dompet itu yang mana mereka boleh menghubungkan kad mereka kepada platform e-dompet dan menyemak baki kad.

“Melangkah ke hadapan, lebih banyak ciri-ciri akan ditambah dalam aplikasi e-dompet ini,” katanya pada pembukaan rasmi hab operasi utama TNG Digital di sini.

Perasmian itu disempurnakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi Ant Financial, Cheng Li.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:24 AM