HO (tengah) pada pelancaran Shopee 9.9 Super Shopping Day di Aloft Sentral.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan optimis mencapai peningkatan tiga kali ganda jualannya sempena Hari Membeli-belah Shopee 9.9 yang berlangsung pada 27 Ogos hingga 9 September.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pihaknya yakin acara tahunan terbesar yang berjalan serentak di Asia Tenggara dan Taiwan itu dapat mengekalkan momentum sama yang dicapai pada tahun lalu.

Katanya, Shopee bekerjasama dengan lebih 10,000 penjual, 120 jenama dan 40 rakan korporat bagi menawarkan produk daripada pelbagai kategori.

“Shopee telah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun ini dan kami menjadi destinasi pilihan pembeli dan penjual dalam talian bukan saja di Malaysia malah seluruh rantau ini.

“Shopee juga mempunyai 10 juta pengguna di Malaysia dan kami berharap dapat melonjakkan jumlah sama direkodkan kempen tahun lalu atau mencatatkan jualan lebih tinggi,” katanya kepada media selepas melancarkan Hari Membeli-belah Shopee 9.9, semalam.

Hari Membeli-belah Shopee 9.9 adalah festival dalam talian yang terbesar dan berlangsung selama 14 hari serta menjanjikan tawaran lebih hebat.

Ian berkata, pada 9 September pula, Shopee akan mengadakan jualan kejutan yang mana sebanyak 99 peratus diskaun ditawarkan ke atas produk popular.

Menurutnya, kempen juga menampilkan gabungan peruncit terbesar dan pemain industri negara.

“Kami percaya pembeli akan menikmati pengalaman beli-belah terbaik sepancang kempen ini termasuk penghantaran percuma bagi pembelian barangan bernilai RM35 dan ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 10:53 AM