SYED Zainal Abidin (tengah) dibawa melawat ruang Common Ground di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Air.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengunjurkan sumbangan jualan bukan bahan api meningkat 30 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamaed Tahir berkata, pada masa ini penjualan petrol menyumbang kepada keseluruhan pendapatan iaitu 90 peratus, manakala bukan bahan api seperti peruncitan 10 peratus.

“PDB menjalin kerjasama dengan peneraju terbesar industri ruangan kerja iaitu Common Ground dalam mentransformasi stesen Petronas Jalan Kolam Air Lama Ampang kepada hab inovasi yang turut dikenali sebagai The Place@Ampang.

“Dengan ruangan kerja bersama terbesar di negara ini menjadi langkah ideal memupuk inovasi dalam kalangan syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

The Place@Ampang adalah strategi jangka panjang PDB menjenama semula bisnes runcit yang memberi fokus kepada penciptaan perkhidmatan inovatif kepada pelanggan,” katanya selepas melawat ruang Common Ground di sini, semalam.

Bagi membolehkan usaha menaiktaraf pengalaman pelanggan, PDB membuka peluang kepada rangkaian dan komuniti syarikat permulaan menyertai The Place@Ampang.

Di samping Common Ground (bersaiz 22,285 kaki persegi), The Place@Ampang juga menempatkan makmal inovasi dikenali sebagai The Sandbox.

Syed Zainal Abidin berkata, PDB sentiasa mencari strategi mempelbagaikan perniagaan dan perkhidmatan yang dapat meningkatkan jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 10:45 AM