KAPTEN Izham (kanan) beramah mesra bersama graduan juruterbang di Akademi MAB, Kelana Jaya.
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my

Kelana Jaya: Malaysia Airlines Bhd sasar untuk meningkatkan operasi penerbangannya ke paras optimum seawal tahun depan sebaik masalah kekurangan juruterbangnya diatasi.

Sehingga kini, MAB memiliki seramai 927 juruterbang yang mengendalikan armada penerbangannya termasuk B737-800, A330-300, A330-200, A350-900 dan A380-800.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail berkata, ketika ini syarikat penerbangan itu memerlukan tambahan 150 juruterbang lagi bagi memastikan operasinya dapat berjalan dengan lebih lancar.

Sehingga kini katanya, pihaknya sudah merekrut kira-kira 60 juruterbang baharu, selain sedang melatih lagi 250 juruterbang setakat tiga minggu lalu.

“Sebenarnya industri penerbangan di Asia Pasifik memerlukan juruterbang baru yang sangat ramai.

“Mengikut anggaran kami, industri di rantau ini memerlukan kira-kira 255,000 juruterbang menjelang tahun 2035 dengan Malaysia adalah salah satunya.

“MAB juga saya boleh katakan turut terkesan dengan masalah ini. Sewaktu prestasi syarikat sedang meningkat pada pertengahan suku kedua lalu, operasi kami terjejas akibat masalah kekurangan juruterbang.

“Ini menyebabkan MAB terpaksa memperlahankan langkah pengembangan memulihkan semula prestasi syarikat,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi juruterbang dan anak kapal MAB di akademinya di Kelana Jaya.

Pada majlis itu, seramai 20 juruterbang dan 82 anak kapal menamatkan latihan mereka. Selain itu, MAB juga menerusi akademinya buat julung kali melahirkan juruterbang wanita pertamanya iaitu Kapten Pearl Wendy Mak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:54 AM