HASNUL Hadi (depan, tengah) bersama kumpulan animasi di Persidangan dan Festival Kandungan Kre8tif! 2018, semalam.
Zanariah Abd Mutalib
cnews@nstp.com.my

Cyberjaya: Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios), anak syarikat Media Prima Bhd (Media Prima) mengukuhkan lagi portfolio harta intelek (IP) animasinya melalui kerjasama dengan tiga syarikat animasi tempatan bagi membangunkan projek animasi baharu.

Tiga syarikat berkenaan adalah Blindspots Studios bagi animasi siri pembelajaran melalui hiburan dan interaksi dengan nilai Islam bagi kanak-kanak, Alif & Sofia, Giggle Garage bagi animasi komedi tanpa dialog mengenai sekumpulan magnet peti sejuk, Fridgies dan The R&D Studio bagi animasi mengenai gadis muda bersama rakan imaginasinya, Iffins.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Primeworks Studios, Yanti Ishak berkata, inisitif berkenaan adalah siri pertama kerjasama projek rintis dengan pembuat animasi Malaysia, sekali gus menjadi tambahan kepada teras perniagaan animasi yang dimulakan syarikat, beberapa tahun lalu.

“Ketiga-tiga episod pengenalan bagi animasi ini dijangka siap pada bulan depan dan akan mula dipasarkan di Festival Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) 2018.

“Kami berbangga dapat menyokong pencipta IP animasi Malaysia dalam usaha mereka membentuk kandungan yang menghiburkan dan menarik. Kami juga berbesar hati dapat menyumbang idea untuk membina aspek komersial barisan animasi ini di seluruh dunia,” katanya selepas menghadiri Persidangan dan Festival Kandungan Kre8tif! 2018, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin.

Yanti turut mempelawa pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan Primeworks Studios dalam bidang penerbitan, penyiaran, pengedaran antarabangsa, pelesenan dan barangan.

Sementara itu, Hasnul Hadi berkata, pasaran industri kreatif negara mencatatkan nilai RM7 bilion pada tahun lalu, dengan sektor animasi tumbuh dengan paling pesat bagi eksport.

“Nilai eksport animasi negara mencecah RM132 juta dan kita sangat gembira melihat pencapaian syarikat animasi tempatan ini. Kita bekerjasama dengan syarikat ini bagi memastikan idea yang dihasilkan bertaraf global bagi menembusi pasaran luar yang lebih luas seperti Indonesia dan Thailand,” katanya.

Hasnul Hadi turut mengumumkan tiga lagi usaha sama syarikat animasi tempatan termasuk Animasia Studio, pembuat animasi Chuck Chicken bersama Koala Popcorn Australia bagi menghasilkan Chuck Chicken Popcorn, selain bersama Foodie4U, Malaysia dan Kidzworld SL, Sepanyol, masing-masing bagi pengeluaran biskut dan makanan manis bertemakan Chuck Chicken serta MCM Studio Entertainment bagi membangunkan taman tema di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 10:45 AM